KUALA LUMPUR — BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan penambahbaikan ke atas program BMW Motorrad Service Inclusive (BMSI) dan BMW Motorrad Warranty Extension (BMWE) bagi memberikan ketenangan minda serta kos pemilikan yang lebih telus kepada para penunggang di Malaysia.

Melalui kerjasama dengan BMW Group Financial Services Malaysia, para penunggang kini boleh membiayai model motosikal terpilih bersama program servis dan waranti lanjutan ini pada kadar faedah serendah 2.99% hingga 3.30%untuk tempoh pinjaman sehingga tujuh tahun. Program BMSI merangkumi penyelenggaraan berjadual seperti alat ganti tulen, kos buruh, dan minyak pelincir untuk tempoh lima tahun atau 50,000 km (yang mana terdahulu), manakala BMWE menambah dua tahun lagi kepada waranti standard tiga tahun sedia ada, memberikan jumlah perlindungan waranti menyeluruh selama lima tahun.

Pakej perlindungan ini direka khusus untuk melindungi nilai jualan semula motosikal kerana program servis ini terikat terus pada nombor casis motosikal dan boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya sekiranya ditukar. Dengan bayaran ansuran bulanan tunggal merangkumi harga motosikal, servis, dan lanjutan waranti, penunggang kini boleh menikmati pengembaraan mereka tanpa perlu risau akan kos penyelenggaraan luar jangka.
