Royal Enfield Lancarkan Varian Baharu Guerrilla 450 APEX di Malaysia, Harga Bermula RM28,000

KUALA LUMPUR — Didi Group selaku pengedar rasmi Royal Enfield di Malaysia telah melancarkan model prestasi jalanan (street-performance roadster) terbaharunya iaitu 2026 Guerrilla 450 APEX. Jentera baharu ini membawakan rekaan yang lebih sporty serta ciri kawalan yang lebih agresif untuk pasaran tempatan.

Guerrilla 450 APEX dibina berasaskan enjin platform Sherpa yang menghasilkan kuasa 40PS dan tork 40Nm. Antara pembaharuan ketara pada varian APEX termasuklah kedudukan hendal aluminium yang lebih rendah dan ke hadapan untuk posisi menunggang yang lebih menunduk dan berkuasa, serta penggantian tayar baharu berorientasikan jalan raya iaitu Vredestein Centuro ST 17-inci yang menawarkan cengkaman mantap pada permukaan basah. Jentera ini turut menampilkan pilihan warna visual menarik seperti Apex Red, Apex Black, dan Apex Green.

Semua varian Guerrilla 450 turut dilengkapi mod tunggangan (Street dan Sport) yang dikemas kini serta paparan kluster meter bulat TFT 4-inci Tripper Dash bersepadu dengan navigasi Google Maps. Di Malaysia, model Guerrilla 450 APEX diletakkan pada tanda harga bermula RM28,000 dan hadir bersama pakej jaminan perbatuan tanpa had selama 3 tahun serta Bantuan Tepi Jalan (RSA) selama 3 tahun. Tempahan kini dibuka di kesemua lapan pengedar sah Royal Enfield di seluruh negara.

Leave a Reply