Sejajar dengan kepulangan kejohanan Formula 1®️ ke Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia sekali lagi memanfaatkan momentum ini dengan melancarkan secara rasmi Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé di KLCC Plaza, sambil turut membuat pertontonan eksklusif bagi model elektrik sepenuhnya, Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé. Pelancaran berkembar ini memperlihatkan dua era pemanduan berprestasi tinggi secara serentak, membawakan teknologi litar lumba terus ke jalan raya menerusi nadi enjin pembakaran dalaman V8 di satu pihak, dan seni bina elektrik terbaharu AMG.EA di pihak yang lain.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Cars Malaysia, Martin Schulz, menegaskan bahawa jenama Mercedes-AMG sentiasa berkait rapat dengan emosi dan prestasi. Menurut beliau, kembalinya kehangatan Formula 1®️ di Malaysia menjadi platform terbaik untuk meraikan minat mendalam peminat automotif tempatan, sekali gus membolehkan jenama itu menawarkan kedua-dua dunia—jentera V8 fokus litar serta evolusi pemanduan elektrik—dalam satu majlis. Pandangan ini turut disokong oleh Ketua Pegawai Operasi Mercedes-Benz Cars Malaysia, Kevin Barbian, yang berkata kedua-dua model ini menyerlahkan keluasan julat kejuruteraan Affalterbach dalam memenuhi pelbagai citarasa pelanggan.


Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé dibina khusus untuk memberikan respons pemanduan yang lebih berdaya saing, terutamanya apabila diuji di litar lumba sebenar. Jentera ini digerakkan oleh enjin 4.0-liter V8 biturbo yang telah dinaik taraf melalui pemetaan semula unit kawalan enjin, menghasilkan kuasa 450 kW (612 hp) dan tork maksimum 850 Nm—peningkatan 20 kW (27 hp) dan 50 Nm berbanding model GT 63 standard. Digandingkan dengan transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9G serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+, jentera ini mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 3.2 saat, manakala pecutan 0 hingga 200 km/j pula selesai dalam 10.9 saat sebelum mencecah kelajuan tertinggi 317 km/j.


Bagi memastikan enjin kekal cekap walaupun di bawah bebanan tinggi, jurutera Affalterbach melengkapkan model PRO ini dengan pakej penyejukan tambahan, termasuk dua radiator ekstra pada arkad roda hadapan dan sistem pam air elektrik yang menyejukkan pembeza gandar serta kotak pemindah secara aktif. Dari segi aerodinamik pula, apron hadapan baharu dengan pelesap udara gentian karbon, sistem AIRPANEL, dan fixed rear wing berjaya mengurangkan daya angkat gandar hadapan sebanyak lebih 30 kilogram, sambil meningkatkan daya mendap gandar belakang sebanyak 15 kilogram. Semua ini disokong oleh suspensi AMG ACTIVE RIDE CONTROL, stereng gandar belakang sehingga 2.5 darjah, serta brek seramik komposit AMG berukuran 420 mm di bahagian hadapan.

Bagi peminat yang mahukan sesuatu yang lebih eksklusif, Mercedes-Benz Malaysia turut menawarkan varian Motorsport Collectors Edition yang dihadkan kepada 200 unit sahaja di seluruh dunia. Edisi khas ini tampil dalam rona Obsidian Black berserta corak bintang Mercedes-Benz dan aksen hijau PETRONAS pada elemen aerodinamik, rim tempa 21-inci, dan angkup brek. Di bahagian dalaman pula, kerusi AMG Performance dibalut kulit Nappa dan MICROCUT dengan jahitan kontras warna PETRONAS, lengkap dengan lencana nombor edisi khas pada konsol tengah dan sistem bunyi premium Burmester High-End 3D Surround Sound.

Sementara itu, pertontonan Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé membuka tirai kepada masa depan pemanduan elektrik berprestasi tinggi menerusi platform AMG.EA. Jentera empat pintu ini digerakkan oleh tiga motor elektrik axial-flux dan sistem bateri 800-volt berpenyejukan terus cecair yang dibangunkan bersama pakar Formula 1®️ di Brixworth, menghasilkan kuasa sehingga 860 kW (1,169 hp) dan tork gergasi 2,000 Nm. Hasilnya, pecutan 0 hingga 100 km/j hanya mengambil masa 2.4 saat, dengan kelajuan maksimum 260 km/j. Pek bateri berkapasiti 106 kWh yang dibawanya pula mampu membekalkan jarak pemanduan sehingga 697 km mengikut kitaran WLTP, manakala sistem pengecasan pantas DC 350 kW membolehkan bateri diisi dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 16 minit sahaja.

Pengalaman pemanduan elektrik ini turut dipertingkatkan oleh perisian bunyi AMGFORCE S+, yang mensimulasikan gelombang akustik enjin V8 berasaskan model GT R menerusi 1,600 fail bunyi dinamik. Sistem kawalan pusat AMG RACE ENGINEER mengimbung kawalan cengkaman sembilan peringkat, kawalan agiliti, serta respons motor, manakala sistem aerodinamik AEROKINETICS pula memanfaatkan kesan aliran Venturi pada bahagian bawah badan kereta.

Di Semenanjung Malaysia, harga anggaran bagi Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé bermula daripada RM2,088,888, manakala edisi Motorsport Collectors Edition pula dianggarkan bernilai RM2,588,888. Bagi model elektrik Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé, ia ditawarkan pada anggaran harga bermula RM1,290,000.





