Bermaz Motor baru sahaja melancarkan SUV popular generasi ketiga, All-New Mazda CX-5, untuk pasaran Malaysia. Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, model ini telah menjadi tulang belakang barisan global Mazda dengan rekod jualan melebihi lima juta unit di seluruh dunia. Kali ini, generasi baharu ini membawakan pembaharuan menyeluruh dari segi reka bentuk, dimensi, keselesaan kabin, dan dinamik pemanduan.

Evolusi Luaran & Dimensi Lebih Memukau
Mengekalkan siluet yang gah, CX-5 baharu menampilkan dimensi dengan panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm, dan tinggi 1,695 mm. Dengan jarak roda (wheelbase) sepanjang 2,815 mm serta pelepasan bumi (ground clearance) setinggi 200 mm, ia menawarkan pendirian badan yang jauh lebih kukuh dan stabil. Reka bentuk luaran kali ini mendapat ilham daripada teknik pertukangan kayu tradisional Jepun, kigumi, di mana bahagian badan dan pelapik bawah bersambung dengan ketepatan tinggi.

Bahagian hadapan tampil lebih gagah dengan rekaan Signature Wing di antara unit lampu LED berkembar tajam serta bumbung solar panoramik berkuasa (Panoramic Power Sunroof). Jentera CBU sepenuhnya dari Hiroshima ini berdiri kemas atas rim aloi 19-inci kemasan Black Metallic yang dibalut tayar 225/55 R19, serta turut menawarkan pilihan warna baharu seperti Navy Blue dan Aero Gray.

Ruang Dalaman Berteraskan Falsafah “Ma”
Masuk ke ruang kokpit, falsafah estetik Jepun Ma—yang mementingkan ruang, keseimbangan, dan suasana kemas—diterapkan sepenuhnya. Jarak roda yang panjang memberikan kelegaan lutut belakang bertambah 64mm dan ruang kepala 29mm. Keselesaan pemandu turut dipertingkatkan melalui tempat duduk pelarasan kuasa 10-hala dengan fungsi memori serta tempat duduk penumpang hadapan berkuasa 6-hala berbalut kemasan kulit tona Sport Tan.

Dari sudut teknologi dan hiburan, kabin didatangkan dengan:
- Skrin sentuh infotainmen 12.9 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
- Kluster instrumen paparan 10.25 inci serta Paparan Pemanduan Aktif (Head-Up Display).
- Sistem audio premium BOSE 12-pembesar suara.
- Lampu ambien pada trim pintu hadapan dengan tujuh pilihan warna serta pengecas peranti tanpa wayar (Qi).

Prestasi Enjin Aspirasi Natural & Dinamik Pemanduan
Di bawah hood, CX-5 dikuasakan oleh enjin SkyActiv-G 2.5 liter DOHC 16-valve 4-silinder dengan VVT, menghasilkan 185 hp pada 6,000 rpm dan tork 257 Nm pada 4,000 rpm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik 6-kelajuan dengan suis pemilih mod pemanduan (Normal, Sport, dan Off-road Mode). Jentera ini merekodkan kecekapan bahan api gabungan pada 7.6L/100km menerusi tangki berkapasiti 56 liter.

Dinamik pemanduan turut diperhalusi melalui sistem kawalan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) untuk kestabilan optimum. Dari aspek keselamatan, model ini baru sahaja merangkul pengiktirafan berprestij 2026 IIHS TOP SAFETY PICK Plus di Amerika Syarikat, serta dilengkapi rangkaian teknologi canggih i-Activsense termasuk Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan fungsi Stop & Go dan Cruising & Traffic Support (CTS).

Harga dan Jaminan
Mazda CX-5 varian 2.5 High CBU dari Jepun ini ditawarkan pada harga bermula dari RM169,900.00. Setiap pembelian hadir bersama Pakej Waranti Pengeluar 5 Tahun dan Program Penyelenggaraan Percuma 5 Tahun (merangkumi alat ganti, buruh, dan pelincir) sah selama 5 tahun atau 100,000 km, mengikut mana yang terdahulu. Uji pandu kini sudah boleh didapati di semua bilik pameran sah Mazda di seluruh negara.

