Oleh Shamsul Yunos
KUALA LUMPUR, 18 September 2026 — Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, hari ini mengumumkan Saidahtul Khairunnisa binti Martius, 39, dari Ipoh, Perak, sebagai pemenang Hadiah Utama bagi peraduan “Buy 1 Free 1” Xforce dengan membawa pulang sebuah model baharu Mitsubishi Xforce Ultimate.

Peraduan tersebut telah dilancarkan sebagai sebahagian daripada promosi awal (Early Bird) yang diperkenalkan bersama pembukaan tempahan untuk model Mitsubishi Xforce pada Februari 2026. Melalui kempen itu, pelanggan yang menempah kenderaan menikmati rebat tunai sebanyak RM5,000 serta tiga kali kos buruh percuma, sekali gus mengurangkan jumlah kos penyelenggaraan lima tahun kepada RM3,900 di samping melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah peraduan berkenaan.
Turut diumumkan dalam majlis tersebut adalah pemenang tempat kedua, Nurhidayah binti Mokhtar, yang memenangi sebuah iPhone 17 Pro Max, serta Choong Ye Siew yang memenangi Hadiah Ketiga berupa sebuah iPad Pro.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Takashi Sakamaki, merakamkan ucapan tahniah kepada para pemenang dan berharap agar kenderaan tersebut menjadi teman yang dipercayai dalam setiap perjalanan bermakna buat pemiliknya.
Model Mitsubishi Xforce dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia. Setakat ini, MMM disokong oleh rangkaian 60 bilik pameran dan 60 pusat servis di seluruh negara bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.
