Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia kini menyaksikan satu pencapaian mercu yang jelas apabila Proton e.MAS mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama EV No. 1 tempatan dengan menguasai lebih 60% pegangan pasaran EV di Malaysia.

Berdasarkan prestasi tahun semasa dari Januari hingga Ogos 2026, Proton e.MAS telah merekodkan sebanyak 27,403 pendaftaran domestik. Angka ini diperkukuhkan lagi dengan rekod pencapaian bersejarah apabila jenama nasional ini melepasi 6000 pendaftaran dalam masa sebulan sahaja buat pertama kalinya pada Ogos lalu. Secara keseluruhan, prestasi tahun-ke-tarikh (YTD) merekodkan 27,856 jumlah pendaftaran merangkumi pasaran domestik dan eksport.
Kekuatan Barisan Model dan Segmen Pasaran
Kejayaan menambat hati pengguna tempatan ini didorong oleh momentum kukuh merentas barisan model utama mereka:
- Proton e.MAS 5: Memimpin segmen EV secara keseluruhan dengan rekod 18,014 unit pendaftaran.
- Proton e.MAS 7: Terus mengekalkan status sebagai SUV EV No. 1 di pasaran, dengan catatan 4,278 unit.
- Proton e.MAS 7 PHEV: Mengungguli segmen kenderaan hibrid plug-in (PHEV) dengan sumbangan 5,562 unit pendaftaran domestik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Encik Zhang Qiang, pencapaian lebih 60% pegangan pasaran ini bukan sekadar angka jualan, malah mencerminkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap mobiliti elektrik.

“Sebagai jenama EV nasional, tanggungjawab kami melangkaui usaha meletakkan lebih banyak EV di atas jalan raya. Kami komited membina ekosistem, keupayaan, dan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong penggunaan EV jangka panjang buat semua rakyat Malaysia,” ujar beliau.
Membina Ekosistem Menyeluruh: Infrastruktur dan Pengecasan
Pertumbuhan pesat ini turut disokong oleh pengukuhan ekosistem sokongan menyeluruh di seluruh negara. Setakat ini, rangkaian pengedar Proton e.MAS telah berkembang kepada 60 pusat pengedaran, 46 pusat servis sah, serta 10 pusat Badan & Cat (B&P).

Dari aspek kemudahan pengecasan awam, integrasi peta pengecasan langsung menerusi kenderaan dan Aplikasi Proton e.MAS membolehkan pengguna mengakses lebih 4,700 mata pengecasan di seluruh negara, merangkumi lebih 90% infrastruktur pengecasan awam Malaysia.
Bagi menangani cabaran pengecasan penduduk kediaman bertingkat (high-rise), Proton e.MAS turut bekerjasama dengan pelbagai pengendali seperti ChargeSini, JomCharge, Charge+, Time Charge N Go, dan RExharge. Kerjasama ini membolehkan pemilik menikmati kadar istimewa RM0.63/kWh sehingga 31 Disember 2026 di lebih 1,500 mata pengecasan merentasi lebih 500 kediaman bertingkat di seluruh negara.
Memperkasa Keupayaan Tempatan dan TVET
Komitmen jangka panjang Proton e.MAS turut diterjemahkan melalui pembangunan bakat dan rantaian bekalan tempatan:

- Pengeluaran Tempatan (CKD): Kesemua model dan varian Proton e.MAS kini di pasang secara tempatan di kilang EV PROTON di Automotive High Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim.
- Pensijilan TVET: Pada Ogos 2026, seramai 37 juruteknik daripada 25 pusat pengedaran sah berjaya mencapai pensijilan EV Tahap 2 bersama TVETMARA.
- Ketersediaan Alat Ganti: Sokongan selepas jualan diperkukuhkan dengan kadar ketersediaan alat ganti biasa mencecah 98.8% di seluruh rangkaian sah, memastikan waktu henti kenderaan diminimumkan.
Menerusi pelaburan berterusan dalam infrastruktur, pembangunan bakat tempatan, serta sokongan terhadap Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Proton e.MAS membuktikan peranannya bukan sekadar sebagai penjual kenderaan, tetapi sebagai pemangkin utama landskap mobiliti masa depan Malaysia.
