Jaecoo J5 EV Mendarat Dengan Padu Dalam Segmen EV Paling Mencabar

Makin ramai pemain, makin sedaplah harga untuk pembeli. Jaecoo J5 EV rasmi dilancarkan pada harga RM118,800—selesa lebih rendah daripada harga anggaran awal RM125,000.

Jika dibandingkan dengan versi enjin pembakaran (ICE), model elektrik sepenuhnya ini mahal sebanyak RM10,800. Namun dalam pasaran yang semakin sengit, Jaecoo menolak nilai tambah melalui pakej pelancaran bernilai RM10,000 serta kemudahan mengecas percuma tanpa had selama 12 bulan.

Pakej khas ini merangkumi insurans percuma 1 tahun, data 3 tahun, pengecas wallbox kediaman 7kW, kabel V2L, serta aksesori gaya hidup (set karaoke, subwoofer, lampu suluh, dan pet carrier).

Poin nilai tambah paling menarik ialah pakej pengecasan percuma 12 bulan bersama JomCharge. Memandangkan JomCharge merupakan sebahagian daripada konsortium pengecasan terbesar di Malaysia, pemilik J5 EV menikmati akses meluas dan boleh berhemat sehingga beribu ringgit pada tahun pertama. Ini adalah langkah taktikal yang sangat relevan, terutamanya bagi pembeli yang tinggal di kediaman bertingkat tanpa fasiliti wallbox peribadi.

Persaingan Harga & Segmen

Jika dibandingkan dengan pesaing EV terdekat seperti Proton e.MAS 7, BYD Atto 3, mahupun Chery Omoda E5, tanda harga J5 EV nampak sangat agresif. Namun harus diingat, dari segi dimensi fizikal (panjang 4,380 mm, jarak roda 2,620 mm), J5 EV sebenarnya berada dalam segmen B, manakala pesaing utamanya sudah bertapak di segmen C.

Spesifikasi / ModelJaecoo J5 EVProton e.MAS 7BYD Atto 3 (Extended)
SegmenB-SegmentC-SegmentC-Segment
Harga (OTR)RM 118,800~RM 120,000~RM 125,800
Kuasa / Tork211 PS / 288 Nm218 PS / 320 Nm204 PS / 310 Nm
Bateri / Jarak (WLTP)58.9 kWh (402 km)60.2 kWh (410 km)60.48 kWh (420 km)
Kelajuan Cas DC Maks130 kW (28 min)100 kW (20 min)88 kW (45 min)
Ruang Frunk35 LiterTiadaTiada

Rekabentuk berkotak dan gaya lasak (mini Range Rover) sudah tentu menarik perhatian di bilik pameran. Namun, kelebihan teknikal sebenar J5 EV terletak pada kadar pengecasan pantas DC 130 kW. Ia membolehkan bateri 58.9 kWh LFP CATL diisi dari 30% ke 80% dalam masa 28 minit sahaja—jauh lebih pantas berbanding sesetengah pesaingnya.

Kualiti Kabin & Praktikaliti Harian

Hasil pemasangan tempatan (CKD) di Shah Alam membolehkan penyesuaian spesifikasi mengikut iklim dan kehendak tempatan. Tahap Kebisingan, Gegaran dan Kekasaran (NVH) dipadatkan menerusi kaca dwi-lapis (double-glazed) pada pintu hadapan. Kerusi dengan sistem pengudaraan (ventilated seats) turut ditawarkan—ciri wajib untuk cuaca panas Malaysia.

Meskipun bersaiz kompak, kapasiti bateri 58.9 kWh padanya tidak jauh berbeza dengan model segmen C, menjanjikan jarak pemanduan sehingga 402 km (WLTP).

Satu lagi kelebihan praktikal ialah ruang simpanan hadapan (frunk) 35 liter. Walaupun nampak kecil, ia menyelesaikan isu klasik EV: anda tidak perlu membongkar atau mengeluarkan semua beg di but belakang semata-mata untuk mengambil kabel pengecas mudah alih atau kabel V2L ketika berada di hentian penamat roadtrip.

Ciri gaya hidup seperti Pet Mode (mengekalkan suhu kabin selamat untuk haiwan peliharaan) serta V2L 3.3 kWmenjadikan J5 EV bersedia untuk aktiviti riadah dan perkhemahan. Jangan lupa ciri Karaoke yang saya kira juga popular terutama ketika sangkut dalam kesesakan lalulintas, terutama bila musim percutian

Kelemahan Utama: Meter Skuter

Kritikan paling ketara terarah kepada panel instrumen pemandu bersaiz 8.88 inci. Pihak pengeluar masih mengekalkan paparan digital mono (bukan skrin warna penuh). Dalam era 2026 di mana kualiti skrin menjadi penentu utama persepsi teknologi sesebuah EV, penggunaan paparan ala ‘meter skuter’ ini terasa agak ketinggalan berbanding paparan infotainmen portrait 13.2 inci di sebelahnya.

Rumusan Elektronikar

Jaecoo J5 EV bukan sekadar sebuah EV bajet. Ia menawarkan pakej gabungan yang sangat munasabah: rekabentuk luaran tegap, kelajuan pengecasan DC 130 kW yang mantap, NVH kabin yang senyap, serta ekosistem gaya hidup yang seronok. Pakej pelancaran percuma JomCharge selama setahun kekal sebagai hujah paling kuat untuk meyakinkan pembeli pertama EV di Malaysia.

Leave a Reply