5 Sebab Mengapa ‘Flash Charging’ BYD Sebenarnya Teknologi teras Masa Depan (Tapi Mungkin Bukan Hanya Untuk Kereta Kita)

Oleh Shamsul Yunos

Bayangkan senario ini: Anda berdiri di stesen pengecasan super-pantas generasi baharu. Di depan anda, sebuah SUV elektrik premium berbateri besar sedang dipasang pada pemegang pengecas. Di skrin dispenser, angka digital bergerak liar.

Dalam masa 10 minit 20 saat, status bateri melonjak dari 7% terus ke 97%. Sepanjang tempoh itu, kelajuan pengecasan kekal stabil pada kadar 1 kilometer julat kuasa bagi setiap saat. Inilah yang saya saksikan sendiri di BYD Zhengzhou, Wilayah Henan.

Satu pencapaian fizik bateri yang luar biasa. Kita sudah sampai ke era di mana mengecas kereta elektrik adalah secepat mengisi petrol.

Tetapi, jika anda bertanya kepada pemilik EV hari ini, mungkin ramai yang akan memberitahu anda: “Saya tak perlukan pengecasan 10 minit.”

Apabila berhenti di lebuh raya selepas memandu dua jam, manusia memerlukan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 minit untuk ke tandas, membeli kopi, dan membalas mesej WhatsApp. Pengecasan 800-volt sedia ada yang mengambil masa 15 minit sudah lebih daripada cukup untuk biologi manusia.

Jadi, untuk apa jurutera BYD, CATL, dan gergasi teknologi dunia bermati-matian mencipta flash charging atau pengecasan tahap Megawatt ini? Adakah ini sekadar gimik perang spesifikasi pasaran?

Sebenarnya, permasalahan flash charging boleh kita samakan dengan evolusi teknologi simpanan data.

Media dari Malaysia melihat demonstrasi Flash Charging BYD di Kompleks Litar All Terrain BYD di Zhengzhou. Sangat membuka mata kami kepada potensi teknologi ini.

Pada tahun 1995, seorang jurutera di IBM pernah berkata, “Tiada siapa yang perlukan lebih daripada 1GB storan dalam komputer peribadi.” Pada masa itu, dia tidak salah. Windows 95 hanya muat dalam 50MB. Satu gambar digital bersaiz 200KB. Internet pula masih menggunakan talian dial-up 14.4kbps.

Hari ini, telefon bimbit di dalam poket kita mempunyai sekurang-kurangnya 256GB, dan satu video 4K di TikTok boleh menelan 500MB tanpa kita sedari. Kita ketawa melihat kenyataan jurutera IBM itu sekarang. Tetapi kita tidak ketawa pada zamannya—kerana pada ketika itu, dia betul.

Kita berada di titik yang sama dengan teknologi flash charging sekarang.

Pada tahun 2026, kebanyakan pemilik EV sudah cukup gembira dengan tempoh 15 minit di lebuh raya. Pergi ke tandas, beli kopi, balik ke kereta—cas sudah mencecah 80%. 5 minit? Terlalu cepat. Manusia pun tidak sempat ke tandas.

Tetapi, pengecasan 5 minit ini bukan untuk manusia hari ini. Ia adalah untuk senario masa depan yang belum kita bayangkan lagi.

Mari kita lihat 5 cara flash charging (dan flash discharging) akan menjadi kritikal—bukan untuk kemudahan peribadi kita, tetapi untuk kelangsungan sistem tenaga kita semua.

Namun, sebelum kita melihat kegunaannya, kita perlu berpijak di bumi yang nyata.

Saya sangat terkejut melihat saiz kabel yang kecil untuk menghantar 1500kW, lazimnya untuk 350kW pun memerlukan kabel dengan penyejukan cecair yang jauh lebih besar dan berat dari ini.

Menyumbat kuasa 1,000kW ke atas pada sesebuah kenderaan adalah satu seksaan ekstrem terhadap grid nasional. Satu stesen flash charging dengan lapan ruang pengecasan boleh menarik kuasa elektrik yang setara dengan sebuah kawasan perumahan atau pencakar langit kecil secara mendadak.

Oleh itu, flash charging hari ini tidak boleh berdiri sendiri. Ia memerlukan sistem sokongan BESS (Battery Energy Storage System)—iaitu bateri gergasi di stesen pengecas yang bertindak sebagai tangki penampung. Stesen akan menyedut elektrik secara perlahan daripada grid 24/7, dan apabila kereta sampai, ia melepaskan ‘air bah’ tenaga itu ke dalam kenderaan dalam masa 10 minit.

Namun, ini mewujudkan konflik keutamaan (competing priorities) untuk syarikat utiliti tenaga. Di mana dana patut dilaburkan dahulu? Adakah untuk membina pencawang flash charging di lebuh raya, atau menaik taraf grid pengedaran teragih (distributed grid) yang lebih kukuh untuk menerima tenaga boleh diperbaharui (renewables)?

Di sinilah fungsi flash charging mula berubah daripada sekadar “kemudahan memandu” menjadi “alat pengurusan tenaga global.” Teknologi ini sebenarnya direka untuk senario yang melangkaui ruang parkir rumah kita.

Berikut adalah 5 cara flash charging (dan flash discharging) menjadi tunjang utama masa depan kita:

Walaupun melihat sendiri kadar can yang sangat laju, saya masih hampir tak percaya. Ini satu lonjakan teknologi yang sangat besar.

1. Logistik Autonomi Tanpa Henti (Autonomous Fleets)

Apabila trak logistik dan teksi robotik (Robotaxi) bertukar menjadi autonomi sepenuhnya, konsep “berhenti rehat 15 minit untuk minum kopi” sudah tidak wujud lagi kerana tiada lagi pemandu manusia. Kereta autonomi ini perlu beroperasi 23 jam sehari untuk memaksimumkan keuntungan.

Flash charging membolehkan trak kargo atau Robotaxi masuk ke ruang depo, menyedut tenaga penuh dalam masa 5 hingga 8 minit, dan terus keluar menjalankan tugasan seterusnya. Di sini, setiap saat kenderaan berhenti adalah kerugian tunai yang nyata.

2. Pengangkutan Berat: Kapal Laut dan Pesawat Elektrik

Sektor maritim dan penerbangan komersial menyumbang impak karbon yang sangat besar. Menukar kapal kargo pesisir pantai atau pesawat domestik jarak pendek kepada elektrik memerlukan bateri berkapasiti Megawatt-jam (MWh).

Pesawat komersial tidak boleh tersadai di lapangan terbang selama 3 jam untuk mengecas; jadual penerbangan menuntut waktu pusingan (turnaround time) yang sangat ketat. Hanya pengecasan tahap Megawatt (flash charging) yang mampu mengecas bateri pesawat dalam tempoh bagasi dipunggah, menjadikannya satu-satunya solusi praktikal untuk dekarbonisasi ruang udara.

3. Menyerap “Shock” Tenaga Solar (Flash Absorption)

Apabila dunia beralih kepada tenaga solar dan angin, masalah utama grid adalah ketidakstabilan. Pada waktu tengah hari di mana matahari memancar terik, panel solar menjana tenaga yang terlampau besar sehingga grid tidak mampu menyerapnya, menyebabkan pembaziran elektrik (curtailment).

Di sinilah flash charging beralih peranan ke kawasan domestik dan industri. Bateri rumah atau utiliti berskala besar tidak memerlukan pengecasan pantas untuk keselesaan, tetapi untuk Flash Absorption. Sistem bateri mesti berkeupayaan menyedut lebihan tenaga solar yang datang secara mendadak dalam tetingkap masa yang singkat sebelum awan melintas, memastikan tiada satu watt pun tenaga hijau terbuang.

4. Flash Discharging: Penyelamat Grid Sewaktu Waktu Puncak

Jika boleh flash charging, secara logiknya mesti boleh flash discharging kan? kalau boleh maka ia akan menjadi teknologi tunjang bekalan kuasa masa depan global

Ini adalah konsep yang paling jarang dibincangkan tetapi paling revolusioner. Jika bateri direka untuk menerima arus tinggi (flash charging), mengikut hukum fizik, ia juga mampu melepaskan arus tinggi dalam masa singkat tanpa merosakkan sel—iaitu Flash Discharging.

Melalui integrasi V2G (Vehicle-to-Grid) dan V2H (Vehicle-to-Home), jutaan EV dan bateri rumah yang bersambung dengan grid pintar boleh bertindak sebagai “Stesen Janakuasa Maya” (Virtual Power Plant). Apabila berlaku lonjakan beban mendadak pada grid nasional (contohnya ketika kilang-kilang mula beroperasi serentak), jutaan bateri ini boleh melakukan flash discharge selama 30 saat ke dalam grid untuk menstabilkan frekuensi sebelum janakuasa utama sempat bertindak balas.

5. Pengangkutan Awam Bandar yang Efektif (Opportunity Charging)

Bayangkan bas elektrik bandar yang tidak memerlukan bateri gergasi yang berat (yang mengurangkan ruang penumpang). Sebaliknya, ia menggunakan bateri kecil yang cukup ringan.

Setiap kali bas berhenti di stesen utama selama 45 saat untuk menurunkan dan mengambil penumpang, pengecas pantas di bumbung stesen melepaskan tenaga flash yang cukup untuk bas bergerak ke 5 stesen seterusnya. Pengecasan secara “curi-curi” (opportunity charging) ini mengekalkan kelangsungan transit awam tanpa membebankan reka bentuk fizikal kenderaan.

Analogi Masa Depan: Dari 1GB ke Realiti Grid Pintar

Kembali kepada analogi storan digital kita. Pada tahun 1990-an, memiliki cakera keras berkapasiti 1 Gigabyte dirasakan seperti satu pembaziran kos kerana fail teks dan audio ketika itu sangat kecil. Hari ini, seluruh ekosistem digital kita (video 4K, AI, penstriman langsung) terbina di atas kewujudan storan Terabyte dalam poket kita.

Begitu juga dengan pengurusan tenaga. Hari ini, kita melihat flash charging 1,500kW sebagai satu perkara yang keterlaluan dan “membazir” elektrik. Namun, apabila sistem grid teragih kita semakin matang, apabila kenderaan bergerak sendiri tanpa pemandu, dan apabila grid nasional perlu bernafas mengikut turun naik tenaga solar, keupayaan untuk menolak dan menarik tenaga dalam masa beberapa minit bukan lagi satu kemewahan.

Ia adalah satu keperluan mutlak untuk memastikan dunia kita terus berputar.

Leave a Reply