BEIJING, 23 Jun 2026 – NAmpaknya kita sudah mula masuk ke fasa baru dunia kenderaan autonomous . Xiaomi mengumumkan bahawa model SUV prestasi tinggi mereka, YU7 GT, berjaya mencatat rekod dunia sebagai kenderaan pertama yang menyempurnakan pusingan litar Nürburgring Nordschleife di Jerman menggunakan sistem pemanduan autonomi sepenuhnya.
Kenderaan tersebut mencatat masa 10 minit 29.483 saat untuk menamatkan litar sepanjang 20.8 kilometer yang terkenal dengan selekoh tajam dan rupa bumi kompleks itu. Pencapaian ini dilihat sebagai demonstrasi teknikal awam bagi keupayaan sistem pemanduan pintar dalam kenderaan biasa yang dijual di pasaran.

Masa tersebut kira-kira 3 minit 7 saat lebih perlahan berbanding rekod terpantas untuk SUV produksi yang sebelum ini ditetapkan oleh pemandu profesional. Pada Mei lalu, Xiaomi mengumumkan YU7 GT yang dipandu pemandu profesional mencatat masa 7 minit 22.755 saat, menjadikannya rekod baharu untuk SUV produksi di litar tersebut.
Xiaomi menyifatkan pencapaian pemanduan autonomi ini sebagai “titik permulaan baharu dan bukannya titik akhir,” menunjukkan hasrat syarikat untuk terus mempertingkatkan prestasi sistem pemanduan pintar mereka.
YU7 GT yang dilancarkan secara rasmi pada 21 Mei lalu dilengkapi dengan motor dwi-sistem Xiaomi Super Motor V8s EVO generasi baharu yang menghasilkan kuasa gabungan 738 kilowatt (1,003 Ps). SUV ini mampu memecut daripada 0 ke 100 km/j dalam masa 2.92 saat dan mempunyai kelajuan tertinggi 300 km/j.
Dari segi bateri, YU7 GT dilengkapi bateri litium ternary 101.7 kWh yang memberikan jarak perjalanan 705 kilometer mengikut kitaran ujian CLTC. Berdasarkan platform voltan tinggi 897-volt silikon karbida, kenderaan ini boleh mengecas semula sehingga 570 kilometer jarak perjalanan dalam masa 15 minit.

Harga YU7 GT bermula dari 389,900 yuan (RM251,000) di China, manakala varian paling lengkap berharga 429,900 yuan (RM277,000).
Sebanyak 32,759 model ini terjual pada Mei lalu, meningkat 16.94% berbanding tahun sebelumnya.
