Chengdu, 18 Jun 2026 – Isu keselamatan membabitkan bateri SUV elektrik kompak, Volvo EX30, kini dilaporkan semakin meluas. Selepas gelombang panggilan balik (recall) global diumumkan awal tahun ini, pasaran China menjadi wilayah terbaharu yang terpaksa memanggil balik model tersebut berikutan risiko pemanasan melampau bateri (thermal runaway).
Di peringkat domestik, Volvo Car Malaysia (VCM) sebelum ini mengesahkan bahawa mereka turut mengambil langkah proaktif dengan mengeluarkan notis panggilan balik bagi unit yang terjejas di negara ini pada penghyujung Januari 2026.
Risiko Kebakaran Bateri Pengeluaran 2024
Menurut kenyataan rasmi daripada Pentadbiran Negara bagi Pengawalseliaan Pasaran (SAMR) China, sebanyak 2,501 unit EX30 buatan China yang dikeluarkan antara 12 April hingga 27 Disember 2024 terpaksa dipanggil balik berkuat kuasa serta-merta.
Siasatan mendapati wujud ralat atau sisihan dalam proses pengeluaran sel bateri yang berpotensi menyebabkan pembentukan “lithium dendrite” (pertumbuhan litium) di dalam sel. Keadaan ini boleh mencetuskan litar pintas dalaman, mengeluarkan asap, dan dalam kes ekstrem, membawa kepada risiko kebakaran akibat thermal runaway.
Pek bateri nikel mangan kobalt (NMC) 69 kWh yang menjadi punca isu ini dipercayai dibekalkan oleh firma China, Sunwoda. Isu kualiti ini juga telah mengheret pembekal tersebut ke mahkamah selepas disaman oleh Vremt, sebuah unit di bawah Kumpulan Geely (syarikat induk Volvo).

Kurang 200 Unit Terjejas di Malaysia
Sebagai rekod prestasi pasaran, Volvo EX30 merupakan model entry-level yang amat popular, dengan jualan global mencecah 75,169 unit pada tahun 2025 sahaja. Di Malaysia, data pendaftaran kenderaan mendedahkan sekitar 490 unit EX30 telah didaftarkan secara atas jalan.
Walau bagaimanapun, bagi isu keselamatan khusus ini, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Chris Wailes, menjelaskan bahawa kurang daripada 200 unit sahaja yang terjejas di Malaysia.
Langkah panggilan balik di peringkat tempatan ini merupakan tindakan pencegahan (preventative measure) yang melibatkan kelompok jentera pengeluaran tahun 2024 hingga 2025 tertentu. VCM juga telah mula menghubungi para pemilik yang terlibat secara terus melalui surat notifikasi rasmi.
Langkah Interim: Hadkan Pengecasan 70%
Sementara menunggu giliran penggantian modul bateri yang rosak di pusat servis sah, Volvo mengeluarkan saranan keselamatan kritikal buat semua pemilik kenderaan yang terjejas.
Pemilik dinasihatkan untuk menetapkan had kapasiti pengecasan bateri kenderaan (target battery level) kepada maksimum 70% sahaja melalui skrin sistem infotainment di dalam kabin mereka bagi mengurangkan risiko pemanasan melampau.
Garis panduan ini dikeluarkan semula dengan tegas susulan kes tuntutan sivil yang difailkan oleh agensi perlindungan pengguna di Thailand baru-baru ini, melibatkan dua kejadian kebakaran EX30 yang didapati mengecas melebihi had 70% yang disarankan sementara menunggu penggantian komponen.
