Malaysia Jadi Satu-Satunya Negara Luar Jerman Pasang Volkswagen Golf R Secara Tempatan

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026 – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini secara rasmi mengumumkan ketibaan model hot hatch prestasi tinggi terbaharu mereka, Volkswagen Golf R.

Model ini bukan sahaja membawakan evolusi digital dan rekaan yang lebih agresif, malah mencatatkan sejarah penting apabila Malaysia dipilih sebagai satu-satunya negara di luar Jerman yang memasang model ini secara tempatan (CKD) di kilang Volkswagen Pekan, Pahang.

Ditawarkan pada harga runcit cadangan bermula RM337,790, jentera ini direka khusus untuk pemandu yang mahukan keseimbangan antara praktikaliti pemanduan harian dan prestasi litar yang ekstrem.

Enjin Produksi Golf Paling Berkuasa: 333PS

Nadi utama Volkswagen Golf R baharu ini dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TSI pengecas tumpu (turbocharged) yang telah dipertingkatkan, menghasilkan output sehingga 333PS (245 kW) dan tork maksimum 420 Nm. Ini menjadikannya sebagai model produksi Golf paling berkuasa dalam pasaran setakat ini.

Digabungkan dengan transmisi DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4MOTION, jentera ini mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.6 saat.

Bagi pemandu yang menggemari aksi gelongsoran, sistem R Performance Torque Vectoring berfungsi mengagihkan tork secara variasi antara roda belakang untuk kawalan selekoh yang lebih tajam dan dinamik. Model ini turut dilengkapi dengan pelbagai mod pemanduan termasuk Comfort, Sport, Race, Drift, dan Individual.

Rekaan Luaran Lebih Agresif & Ekzos Akrapovič

Dari segi estetika, Golf R tampil dengan bahasa rekaan yang lebih mantap dan garang. Garisan badan yang lebih tajam dipadankan dengan bampar hadapan baharu yang menempatkan logo Volkswagen berlampu.

Antara ciri luaran utama yang menjadi tumpuan termasuk:

  • Sistem ekos sedia ada titanium quad Akrapovič untuk bunyi ekzos yang lebih mengancam.
  • Rim aloi ringkas 19-inci ‘Estoril’.
  • Lampu hadapan IQ.LIGHT LED matrix dengan suluhan utama berprestasi tinggi.
  • Lampu belakang IQ.LIGHT 3D LED dengan isyarat membelok dinamik.

Model ini ditawarkan dalam beberapa pilihan warna menarik iaitu Dolphin Grey (warna baharu), Lapiz Blue, Grenadilla Black, dan Pure White.

Ruang Kabin Digital Terkini

Melangkah ke dalam, ruang kabin menerima peningkatan digital yang ketara menerusi sistem operasi MIB4 terbaharu yang menawarkan antaramuka lebih pantas dan responsif. Ia merangkumi skrin infotainment media gaya tablet bersaiz 12.9 inci serta Digital Cockpit Pro dengan paparan papan pemuka resolusi tinggi 10 inci.

Kabin ini turut dilengkapi dengan pembantu suara IDA yang dipertingkatkan, sokongan Wireless Apple CarPlay dan Android Auto, pengecasan telefon pintar tanpa wayar, serta sistem audio premium Harman Kardon 480W dengan 9 pembesar suara bersama amplifier 12-saluran dan subwoofer. Keselesaan pemandu diserikan lagi dengan tempat duduk kemasan kulit “Nappa” bersama logo “R”.

Keselamatan Pintar IQ.DRIVE

Untuk pemanduan yang lebih yakin, Volkswagen Golf R dilengkapi dengan pakej bantuan pemandu termaju IQ.DRIVE yang merangkumi:

  • Adaptive Cruise Control (ACC) dengan fungsi stop-and-go.
  • Front Assist bersama Brek Kecemasan Autonomi (termasuk pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal).
  • Lane Assist dan Side Assist.
  • Sistem perlindungan penumpang proaktif dan Park Distance Control.

Harga dan Pakej Jaminan

Selain harga asas RM337,790, pengguna juga boleh memilih untuk memiliki model ini bersama Volkswagen Assurance Package (VAP) pada harga bermula RM355,990. Pakej VAP ini merangkumi penyelenggaraan percuma selama 5 tahun, jaminan perbatuan tanpa had selama 5 tahun, dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

Leave a Reply