KUALA LUMPUR – Harga pengenalan bagi model kenderaan elektrik (EV) generasi baharu di pasaran Malaysia dijangka berhadapan tekanan peningkatan kos berikutan langkah China menguatkuasakan dua piawaian mandatori keselamatan kebangsaan yang lebih ketat bermula 1 Julai 2026.
Penganalisis industri menjangkakan kos pembuatan bateri akan mengalami kenaikan bagi mematuhi syarat ujian terbaharu itu, sekali gus memberi impak kepada strategi peletakan harga oleh pengeluar automotif.
Dua polisi mandatori tersebut—Safety Requirements for Electric Vehicles (GB18384—2025) dan Safety Requirements for Power Batteries for Electric Vehicles (GB38031—2025)—mewajibkan rantaian pengeluaran EV mempertingkatkan sistem keselamatan perkakasan (hardware) secara menyeluruh.
Langkah ini sekali gus membendung persaingan tidak sihat melibatkan lambakan produk berkualiti rendah dan berharga murah di pasaran global.
Walau bagaimanapun, impak kenaikan harga runcit di Malaysia diramal berbeza mengikut keupayaan pengurusan kos setiap jenama.
Gergasi pengeluar bateri CATL serta pengeluar EV BYD dilaporkan telah pun melepasi ujian piawaian tersebut lebih awal menerusi teknologi bateri generasi baharu mereka, seperti Blade Battery generasi kedua.
Ini bermakna model-model utama yang mendominasi pasaran Malaysia ketika ini sudah mempunyai kelebihan rantaian bekalan untuk menyerap sebahagian daripada tekanan kos tersebut.
