Seni Bina 800V Dan Konfigurasi Empat Motor Pacu Evolusi Elektrik BMW M Concept Neue Klasse

MUNICH – Bahagian prestasi tinggi BMW M GmbH secara rasmi mendedahkan hala tuju masa hadapan jenama berkenaan melalui penampilan sulung model BMW M Concept Neue Klasse sempena perlumbaan lasak 24 Hours of Le Mans.

Kehadiran model konsep serba elektrik ini memamerkan evolusi bahasa rekaan terbaharu yang agresif serta pemindahan teknologi perlumbaan terus ke jalanan, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi dinamika pemanduan era tanpa pelepasan asap.

Berpaksikan falsafah reka bentuk yang mengutamakan fungsi prestasi, jentera ini mengintegrasikan komponen inovatif berasaskan gentian semula jadi pada struktur luaran dan ruang kabin bagi menyokong aspek kelestarian tanpa mengorbankan jati diri perlumbaan jenama terbabit.

Dari sudut reka bentuk luaran, model konsep ini menampilkan perkadaran badan yang sasa dengan gerbang roda yang lebar serta kemasan luaran logam rona Monza Red bersama rim jenis kekunci tengah (centre-lock).

Identiti hadapan jentera ini didominasi oleh reka bentuk hidung jerung (shark nose) dan integrasi lampu hadapan bersama gril penanda buah pinggang (kidney grille) yang berwajah tunggal, serta menampilkan lampu ikonik M Yellow Lights.

Penggunaan lampu ikonik berwarna kuning ini bukan sahaja memberikan fokus pandangan yang lebih tajam ke atas permukaan jalan, malah ia menjadi rujukan reka bentuk terus daripada jentera lumba kategori GT serta jentera perlumbaan ketahanan hiper BMW M Hybrid V8.

Liang aliran udara berbentuk ‘V’ yang agresif pada bonet hadapan berfungsi mengoptimumkan sistem penyejukan rangkaian kuasa elektrik, manakala reka bentuk bampar hadapan mengambil inspirasi daripada bentuk bot laju trimaran yang bertindak sebagai penyokong struktur kepada pembahagi angin (front splitter) di bahagian bawah gandar hadapan demi memaksimumkan tekanan ke bawah (downforce).

Keseluruhan profil aerodinamik disempurnakan lagi menerusi penggunaan lampu trek tiga dimensi (Track Lights) di bahagian apron luar, serta komponen ducktail spoileryang terapung di atas peresap udara (diffuser) belakang untuk mengurangkan pergolakan udara gandar belakang.

Aspek pemanduan berprestasi tinggi jentera ini digerakkan oleh sistem rangkaian kuasa BMW M eDrive berasaskan teknologi generasi keenam (Gen6) Neue Klasse yang dibangunkan khusus untuk kenderaan elektrik BMW M.

Konfigurasi teraju utama model ini menggabungkan sistem pacuan empat motor elektrik yang dikawal selia secara pintar oleh perisian kawalan pusat BMW M Dynamic Performance Control menerusi komputer berprestasi tinggi yang dikenali sebagai Heart of Joy.

Integrasi sistem kawalan khusus pada setiap roda ini membolehkan kawalan hantaran tork (torque vectoring) dan sistem brek beroperasi secara masa nyata berdasarkan kawalan roda secara individu.

Gabungan perkakasan termaju dan perisian pintar ini membuka potensi baharu dalam dinamika pemanduan dengan menawarkan fungsi pemulihan tenaga brek (recuperation) yang sangat tinggi, agihan cengkaman optimum sehingga ke tahap had fizikal pemanduan, serta memberikan maklum balas respon pemanduan yang jauh lebih langsung dan selamat.

Bagi menyokong keupayaan pemanduan jarak jauh serta kecekapan pengecasan berprestasi tinggi di litar, kenderaan ini dilengkapi dengan seni bina sistem elektrikal berkuasa 800-volt serta pek bateri voltan tinggi yang mempunyai kandungan tenaga melebihi 100 kWj.

Kuasa optimum ini disalurkan menerusi penggunaan sel silinder generasi keenam yang telah dioptimumkan mengikut spesifikasi khas BMW M bagi memastikan hantaran tenaga kekal konsisten serta memaksimumkan output kuasa semasa membekalkan tenaga ke motor elektrik mahupun ketika proses pengecasan pantas dijalankan.

Selain berfungsi sebagai pembekal kuasa utama, perumah fizikal bagi komponen bateri voltan tinggi ini turut direka untuk disatukan secara struktural dengan kedua-dua gandar hadapan dan belakang.

Penyepaduan struktur tegar ini bertindak meningkatkan tahap ketegaran kilasan casis secara keseluruhan, sekali gus memberikan kelebihan besar dari segi imbangan dinamika pengendalian, ketepatan stereng, serta ketangkasan jentera ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Ruang kokpit dalaman memfokuskan kepada elemen pemanduan tulen yang dikurangkan elemen gangguan dengan aplikasi papan pemuka terapung berlatarkan bahan fabrik rajutan hitam berserta sistem pencahayaan latar belakang berbentuk heksagon yang memaparkan grafik grafik khusus M.

Kabin jentera ini dilengkapi dengan empat unit tempat duduk jenis bucket yang mengintegrasikan struktur pengukuh berasaskan gentian semula jadi. Tempat duduk ini menerima balutan kulit Merino dwi-nada warna Bathurst Blue dan Berry Red yang mencerminkan warna rasmi M, serta dipadankan dengan tali pinggang keselamatan perlumbaan jenis lima titik berwarna merah.

Sifat perlumbaan model ini diperkukuhkan lagi melalui penggunaan komponen kulit nubuck hitam berkualiti tinggi yang diaplikasikan buat pertama kali pada bahagian roda stereng, panel pintu, serta struktur palang pelindung gulingan (roll bar).

Sebagai perincian akhir bagi meletakkan aspek prestasi sebagai tumpuan utama, beberapa sentuhan rona merah turut diaplikasikan pada bahagian tombol penukar gear M, padel penukar gear pada stereng, serta pada paparan maklumat instrumen digital pemandu.

Leave a Reply