Sewa Kereta Guna Aplikasi: Perodua Perkenalkan ‘UCar-e’ di Tiga Universiti Awam Tempatan! 50 kereta sebagai permulaan

RAWANG, 2 Jun 2026 – Perodua terus mengorak langkah ke hadapan dalam mentransformasikan landskap automotif negara dengan memperkenalkan perkhidmatan sewa kereta berasaskan aplikasi pintar yang dinamakan UCar-e (disebut ‘You Car’). Perkhidmatan ini diperkenalkan khusus untuk kegunaan para pelajar dan kakitangan di tiga universiti awam tempatan terpilih.

Universiti yang terlibat dalam fasa awal ini adalah:

  • Universiti Utara Malaysia (UUM)
  • Universiti Putra Malaysia (UPM)
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – melalui Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

Langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif besar Perodua di bawah konsep “Mobility as a Lifestyle” (Mobiliti sebagai Gaya Hidup), yang menekankan peralihan daripada pemilikan kenderaan konvensional kepada penyelesaian mobiliti berorientasikan perkhidmatan.

Bagaimana UCar-e Berfungsi?

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, sebanyak 50 buah kenderaan Perodua telah disediakan untuk peringkat permulaan ini.

“Melalui aplikasi UCar-e, pengguna boleh menempah, mengakses, dan menggunakan kenderaan untuk bergerak dari penginapan mereka ke dewan kuliah di dalam kawasan kampus,” kata beliau ketika meluncurkan inisiatif tersebut di Inasis Perodua, UUM baru-baru ini.

Aplikasi ini membolehkan pengguna mengesan lokasi kenderaan yang diletakkan di zon khas di dalam kampus, dan mereka hanya perlu memulangkan semula kenderaan tersebut ke zon letak kereta yang telah ditetapkan selepas digunakan. Perkhidmatan ini dijangka mula beroperasi secara berperingkat bermula Jun 2026, bergantung kepada kesediaan jadual peluncuran setiap universiti.

Latih Pelajar Jadi Usahawan Kampus

Menariknya, Perodua tidak hanya menyediakan kenderaan, malah mereka turut bekerjasama dengan pihak universiti untuk melantik para pelajar sebagai ejen pengurusan kenderaan tersebut. Pelajar yang dilantik akan bertanggungjawab menjaga kebersihan, memantau tahap bahan api, dan memastikan penyelenggaraan kenderaan berada dalam keadaan terbaik. Sebagai balasan, mereka akan menerima bayaran berasaskan komisen.

Langkah ini secara tidak langsung menyerapkan elemen latihan keusahawanan dan pendedahan kemahiran hidup yang penting buat generasi muda sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Menepati Trend & Gaya Hidup Gen Z

Pengenalan UCar-e ini juga adalah sebahagian daripada usaha Perodua untuk meluaskan perniagaan automotif mereka seiring dengan trend pengguna masa kini.

Pihak Perodua menyedari bahawa sebahagian besar golongan Gen Z kini lebih berminat kepada pengalaman pemanduanberbanding komitmen memiliki sebuah kenderaan secara mutlak. Faktor-faktor seperti kos penyelenggaraan yang tinggi, masalah kesukaran parkir, dan kesesakan lalu lintas yang kronik telah mendorong golongan muda ini untuk mencari alternatif mobiliti yang lebih fleksibel dan menjimatkan.

Leave a comment