
Rancangan pemasangan tempatan (CKD) Chery Malaysia kini memasuki fasa penting dengan pengesahan bermulanya pengeluaran komponen kerusi bagi model Tiggo 7 dan Tiggo 7 Pro pada Julai 2026. Langkah ini menandakan komitmen jenama tersebut untuk memperkukuh ekosistem vendor tempatan bagi memenuhi sasaran kandungan tempatan yang ditetapkan kerajaan.
Pengesahan jadual pengeluaran ini didedahkan oleh Feytech Holdings Berhad melalui usaha sama mereka dengan syarikat China, Wuhu Ruitai Auto Parts Co. Ltd, di bawah entiti FTRT Autoparts Sdn Bhd. Operasi pembekalan ini akan dijalankan di fasiliti khas mereka di Subang yang telah sedia membekalkan komponen untuk model Jaecoo J7, Jetour, dan Omoda 5.
Penyertaan Tiggo 7 dan Tiggo 7 Pro dalam barisan pengeluaran FTRT Autoparts membuktikan fasa lokalisasi Chery sedang berkembang mengikut jadual. Strategi ini bukan sahaja bertujuan untuk mengoptimumkan kos melalui insentif duti CKD, malah memastikan kestabilan bekalan bagi menyokong momentum jualan Chery yang kini telah melepasi angka 30,000 unit sejak kembali ke pasaran Malaysia pada 2023.

Selain Tiggo 7, model Tiggo 8 turut tersenarai dalam kerangka kerja lokalisasi syarikat tersebut bagi memastikan model-model utama dalam segmen SUV ini mempunyai tahap kandungan tempatan yang kompetitif. Fokus terhadap pembekal Tahap-1 (Tier-1) seperti Feytech dilihat sebagai langkah strategik bagi Chery untuk menstabilkan margin pendapatan jangka panjang melalui penggunaan kapasiti pengeluaran domestik secara maksima.
Bagi industri automotif tempatan, penglibatan vendor Malaysia dalam rantaian bekalan jenama dari China ini mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab pemasangan kenderaan serantau, terutama bagi model-model yang menggunakan kerangka kerja CKD sepenuhnya.
