Porsche Lepas Pegangan Saham Bugatti Rimac Kepada Konsortium HOF Capital

STUTTGART – Porsche secara rasmi bersetuju untuk menjual keseluruhan pegangan ekuiti mereka dalam Bugatti Rimac dan Rimac Group kepada konsortium yang diketuai oleh firma pelaburan New York, HOF Capital. Perjanjian transaksi tersebut telah ditandatangani pada 24 April 2026, menandakan berakhirnya pegangan langsung Porsche dalam usaha sama (JV) yang ditubuhkan pada 2021 itu.

Sebelum transaksi ini, Porsche memegang 45% kepentingan dalam Bugatti Rimac manakala 55% lagi dimiliki oleh Rimac Group. Selain itu, Porsche juga memiliki 20.6% saham dalam Rimac Group. Penjualan ini merangkumi pelupusan sepenuhnya kedua-dua kepentingan tersebut kepada konsortium yang turut melibatkan BlueFive Capital sebagai pelabur terbesar, bersama sekumpulan pelabur institusi dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Apabila transaksi ini selesai—yang dijangka sebelum akhir tahun 2026 tertakluk kepada kelulusan kawal selia—Rimac Group akan mengambil alih kawalan penuh ke atas Bugatti Rimac. HOF Capital pula akan menjadi pemegang saham terbesar dalam Rimac Group bersama pengasasnya, Mate Rimac.

Ketua Pegawai Eksekutif Porsche AG, Dr. Michael Leiters, menyatakan bahawa langkah ini membolehkan Porsche kembali memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan teras mereka. Beliau menyifatkan peranan Porsche sebagai pelabur peringkat awal telah berjaya meletakkan asas kukuh untuk masa depan Bugatti dan membantu membangunkan Rimac Technology menjadi pembekal teknologi automotif Tier-1 yang mapan.

Mate Rimac, selaku CEO Bugatti Rimac, menghargai kerjasama erat dengan Porsche selama ini dan menyatakan bahawa struktur baharu ini akan membolehkan syarikat memacu visi jangka panjang mereka dengan lebih pantas. HOF Capital dan BlueFive Capital pula komited untuk mengekalkan warisan ketukangan Bugatti sambil memacu pertumbuhan inovasi pada masa hadapan. Terma kewangan bagi transaksi ini tidak didedahkan kepada umum.

Leave a comment