Kilang EV Proton Siap 90.4%. Sedia Beroperasi September Ini

Proton kini selangkah ke hadapan dalam revolusi kenderaan elektrik (EV) Malaysia dengan kemajuan pesat kilang pengeluaran EVnya yang berteknologi tinggi di Tanjung Malim. Hanya dalam tempoh enam bulan selepas majlis pecah tanah pada Februari lalu, bangunan kilang tersebut telah mencapai 90.4% siap, manakala pemasangan peralatan berada pada 83.5%, menjadikan keseluruhan projek kini siap sebanyak 86.9%.

Menurut Wan Yousry bin Mohamed, Ketua Kejuruteraan Pembuatan Proton, kilang baharu ini dijadualkan untuk memulakan pengeluaran berskala penuh pada pertengahan September. Pencapaian ini membuktikan dedikasi dan kecekapan pasukan Proton, yang kini sedang giat melakukan ujian percubaan mesin (MTO) untuk memastikan semua peralatan beroperasi dengan lancar.


Proton e.MAS 7 Jadi Model Pertama

Setelah siap sepenuhnya, kilang ini akan menghasilkan pelbagai model berdasarkan platform Global Modular Architecture (GMA). Model pertama yang akan dilancarkan dari barisan pengeluaran ialah Proton e.MAS 7, EV pertama daripada jenama automotif Malaysia. Ini akan diikuti dengan Proton e.MAS 5, EV peringkat permulaan yang paling dinanti-nantikan di Malaysia dan sedang diperkenalkan kepada orang ramai melalui jelajahnya di seluruh negara.


Kapasiti Pengeluaran Boleh Dinaiktaraf

Kilang EV ini direka dengan konsep “skalabiliti” yang membolehkan Proton meningkatkan kapasiti pengeluaran mengikut permintaan pasaran. Bermula dengan kapasiti awal 20,000 unit setahun, kilang ini berupaya diperluaskan kepada 45,000 unit setahun berdasarkan jualan di pasaran tempatan dan eksport. Infrastruktur sedia ada, termasuk sistem logistik, sistem utiliti, dan alatan digital, telah dipasang untuk menyokong pengembangan ini tanpa memerlukan reka bentuk semula yang signifikan.


Kerjasama Strategik dan Pembangunan Bakat

Sebagai sebahagian daripada perkongsian dengan Geely, Proton mendapat manfaat daripada kepakaran global mereka. Geely telah menyediakan bimbingan teknikal, membantu pemilihan peralatan, dan menghantar pakar untuk menyokong pemasangan dan ujian. Ini termasuklah latihan di luar negara untuk kakitangan Proton, memastikan kilang ini mematuhi piawaian pengeluaran EV global.

Proton juga komited dalam pembangunan bakat tempatan dengan sasaran mencipta lebih 200 pekerjaan baharu khusus dalam industri EV. Buat masa ini, seramai 30 kakitangan bukan eksekutif dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan diploma telah dilatih sepenuhnya. Proton juga menjalinkan kerjasama dengan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) untuk menyediakan input silibus teknikal dan sokongan latihan amali bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang sejajar dengan keperluan industri.

Wan Yousry menegaskan, “Kilang ini melambangkan transformasi Proton dan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi ke arah masa depan yang mampan dan berteknologi tinggi. Kami sedang meletakkan asas bagi kepimpinan Malaysia dalam landskap EV serantau dengan mengembangkan penawaran EV kami secara strategik ke pasaran luar negara yang baharu.”

Leave a comment