
Kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran Malaysia, Proton e.MAS 7, yang juga merupakan EV nombor satu di Malaysia selama tiga bulan berturut-turut, telah mencipta sejarah apabila secara rasmi mengetuai konvoi sempena majlis pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025) di Jakarta pada 22 April 2025.
Acara berprofil tinggi yang berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta itu diserikan dengan kehadiran pemimpin terkemuka termasuk Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi; Setiausaha Agung ASEAN, H.E. Dr. Kao Kim Hourn; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, H.E. Dato’ Syed Md Hasrin Tengku Hussin; dan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, H.E. Sarah Al Bakri Devadason. Kehadiran mereka menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam memacu agenda mobiliti lestari ASEAN.

AUD 2025 dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dan disokong oleh PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON, sebagai penaja utama. Jelajah ini akan merentasi jarak lebih 9,000 kilometer melalui sembilan (9) negara ASEAN.
Konvoi yang diketuai oleh e.MAS 7 ini melambangkan kepimpinan Malaysia dalam peralihan EV di rantau ini serta komitmennya yang semakin meningkat terhadap penyelesaian mobiliti yang bersih, terhubung dan cekap tenaga.
“Kami berbangga kerana Proton e.MAS 7 telah dipilih untuk mengetuai pemanduan penting ini. Ia mencerminkan kejuruteraan canggih di sebalik EV kami dan komitmen berterusan PRO-NET ke arah Asia Tenggara yang lebih hijau dan terhubung,” kata Encik Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
ASEAN Unity Drive bukan sekadar perjalanan simbolik; ia mencerminkan visi serantau yang dikongsi bersama untuk pembangunan lestari, mobiliti pintar, dan kemajuan teknologi. Proton e.MAS 7, yang dilengkapi dengan ciri keselamatan, ketersambungan, dan jarak pemanduan termaju, dibina khas untuk keadaan dunia sebenar dan perjalanan antara negara, sekali gus mempamerkan kebolehpercayaan dan potensinya sebagai EV harian untuk jalan raya ASEAN.

Selepas pelepasan di Jakarta, konvoi itu akan melalui beberapa ibu negara ASEAN, termasuk Hanoi di Vietnam, Vientiane di Laos, Manila di Filipina, Phnom Penh di Kemboja, Bandar Seri Begawan di Brunei, Bangkok di Thailand, dan Singapura. Setiap hentian akan mengukuhkan semangat perpaduan dan kemajuan serantau.
Di setiap destinasi, akan diadakan sesi libat urus komuniti dan dialog dengan pihak berkepentingan tempatan untuk mempromosikan penggunaan EV dan memajukan inisiatif mobiliti bersih di seluruh ASEAN. Memandangkan Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, PRO-NET komited untuk menyokong ekonomi hijau rantau ini dan membuka jalan bagi masa depan mobiliti dan pengangkutan yang lestari dan saling terhubung.




