SUBANG JAYA — Pengeluar kenderaan nasional, PROTON terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran automotif serantau apabila kompleks pembuatan Tanjong Malim memperluaskan peranan dalam menyokong program kenderaan antarabangsa. Selain menghasilkan model Proton sendiri, kilang tersebut turut memegang mandat pengeluaran model terpilih Geely untuk pasaran luar negara, membuktikan keupayaan fasiliti, tenaga kerja, serta proses pengeluaran tempatan bertaraf dunia.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2026 sahaja, operasi eksport PROTON telah mencatatkan sejumlah 7,370 unit (merangkumi jenama Proton dan Geely). Angka ini telah pun melepasi jumlah keseluruhan 6,000 unit yang dicatatkan bagi sepanjang tahun 2025, dengan program eksport Geely menyumbang kepada sebahagian besar peningkatan tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa berkata, usaha memperluas peranan ini membolehkan syarikat memanfaatkan sepenuhnya pelaburan yang telah diletakkan di Tanjong Malim pada skala yang lebih besar.
Kompleks bersepadu Tanjong Malim kini merangkumi bahagian pengecapan, pemasangan badan, pengecatan, trim, dan pemasangan akhir, berserta pusat trenkuasa (powertrain) dan kenderaan tenaga baharu (NEV) yang berkapasiti sehingga 250,000 unit setahun. Pemindahan operasi R&D dan kejuruteraan ke Automotive High-Tech Valley (AHTV) baru-baru ini turut memfokuskan usaha pembangunan di bawah satu bumbung yang kukuh bagi menyokong masa depan industri automotif negara.

