
SEPANG, 11 OKTOBER 2026 — Temasya sukan permotoran paling berprestij tanah air, PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 (MotoGP™ Malaysia), bakal kembali menggegar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 30 Oktober hingga 1 November ini. Namun bagi edisi kali ini, tumpuan peminat tempatan pastinya terarah kepada permata baharu negara, Hakim Danish, yang bakal membuat penampilan sulung di laman sendiri sebagai pelumba penuh Kejohanan Dunia Moto3™.
Sorakan Padu Di Laman Sendiri
Keputusan cemerlang Hakim Danish yang meraih kemenangan sejarah serta podium pertamanya di pentas Kejohanan Dunia Moto3™ musim ini jelas mencetuskan demam MotoGP dalam kalangan peminat tempatan. impaknya cukup nyata—tiket kategori Premier Seat dan Hakim Danish Tribune dilaporkan telah licin dijual, manakala jualan keseluruhan tiket kini sudah pun mencecah 80 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, menyifatkan pencapaian Hakim Danish sebagai suntikan semangat luar biasa buat penganjuran tahun ini. Pihaknya mahu memastikan atmosfera Sepang digegarkan dengan sorakan padu penyokong tempatan demi memberi kelebihan moral kepada wira negara itu.
Jubli Perak 35 Tahun Dalam Pentas Dunia
Penganjuran edisi 2026 ini turut membawa makna yang cukup besar apabila menandakan tahun ke-35 penglibatan Malaysia dalam kancah Kejohanan Dunia MotoGP™ sejak 1991, selain meraikan ulang tahun SIC sebagai ‘rumah’ rasmi sukan itu sejak 1999. Penganjuran berterusan ini bukan sahaja memartabatkan bakat muda tempatan, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan permotoran serantau.
Menteri Belia dan Sukan, YB Dr Mohammed Taufiq Johari, menegaskan bahawa kerajaan kekal komited menjadikan sukan permotoran lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat melalui Ekosistem Pembangunan Sukan Permotoran Malaysia (MDEV) dan inisiatif Tiket Rahmah.
Pengalaman Maksimum Untuk Peminat, Hadiah Motosikal Menanti
Bagi menghangatkan hujung minggu perlumbaan, pelbagai aktiviti menarik telah disusun khas buat para pengunjung. Antara tarikan utama termasuk:
• Sesi Public Pit Lane Walk, Autograph Session, dan pengalaman Night Track Tour.
• Peluang beramah mesra secara dekat menerusi Hero Walk bagi kategori Moto2™, Moto3™, dan MotoGP™, serta Grid Walk.
• Zon peminat (MotoGP Fan Zone) yang diseri dengan persembahan pelajar, hiburan muzik, dan aktiviti interaktif.
• Cabutan bertuah membawa pulang motosikal daripada jenama Aprilia, Lambretta, dan Kedai Motor Sam Lim untuk pembeli tiket terpilih.
Bagi mereka yang mahu membawa keluarga, Tiket Rahmah untuk kawasan K2 Hillstand masih ditawarkan pada harga mampu milik RM49.90.
Sukan Permotoran Mesra Alam
Dalam masa yang sama, SIC turut melangkah ke hadapan dalam aspek kelestarian hijau menerusi kerjasama rasmi bersama SWCorp. Pelbagai kempen pemeliharaan alam sekitar seperti Respect Our Track, pengasingan sisa, seni tayar terpakai, dan program sukarelawan Hero Kebersihan akan dilaksanakan sepanjang hujung minggu perlumbaan bagi memastikan kebersihan litar sentiasa terpelihara.
