KUALA LUMPUR, 18 September 2026 — Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON) secara rasmi diumumkan sebagai Rakan Mobiliti Rasmi bagi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026. Pengumuman ini dimeterai menerusi majlis penyerahan kenderaan di Menara MATRADE, yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Indera Abu Bakar Yusof, bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.

MIHAS 2026 yang memasuki edisi ke-22 membawakan tema “Shaping Trust, Driving Resilience” dan dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). Diiktiraf sebagai pameran perdagangan halal terbesar di dunia, acara ini menghimpunkan pembeli global, delegasi perdagangan, pemain industri, serta pengamal media merentas 14 sektor strategik ekonomi halal.
Sokongan Mobiliti dan Lonjakan Eksport Global
Bagi menyokong kelancaran logistik dan mobiliti delegasi media antarabangsa sepanjang acara berlangsung, PROTON memperuntukkan sebanyak 20 unit kenderaan, merangkumi 10 unit Proton X90 dan 10 unit Proton X70. Menurut Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, kerjasama ini adalah lanjutan semula jadi bagi jenama nasional untuk membolehkan para tetamu global merasai sendiri kualiti kejuruteraan dan hospitaliti Malaysia sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam kenderaan PROTON.

Selain memperkukuh perkongsian strategik bersama MATRADE selaku agensi kerajaan utama, penglibatan ini turut mencerminkan komitmen jenama dalam agenda perdagangan dan eksport negara. Prestasi eksport PROTON terus menunjukkan trajektori peningkatan yang kukuh; bagi lapan bulan pertama tahun 2026 sahaja, syarikat telah berjaya mengeksport sebanyak 6,059 unit—sudah melepasi jumlah keseluruhan eksport bagi sepanjang tahun 2025 yang mencatatkan 6,000 unit.
Peningkatan ini jelas membuktikan perluasan jejak antarabangsa bagi kenderaan yang dikeluarkan dari kilang Tanjung Malim, menjadikan platform global seperti MIHAS 2026 sebagai pemangkin penting untuk terus memperkukuh keterlihatan jenama di persada dunia.

