Royal Enfield Bawa Budaya Kustom dan Sukan Papan Seluncur ke Art of Speed 2026

SERDANG, 1 Ogos 2026 — Jenama motosikal segmen sederhana global, Royal Enfield, telah secara rasmi kembali memeriahkan festival budaya kustom terkemuka tanah air, Art of Speed 2026, yang berlangsung di MAEPS, Serdang. Penganjuran tahun ini menyaksikan pengeluar berkenaan memperagakan dua binaan motosikal kustom eksklusif—OBSIDIAN dan Carolina Reaper—di samping membawakan demonstrasi sukan papan seluncur (skateboarding) secara langsung di reruai mereka di Dewan A. Bersempena dengan sambutan 125 tahun legasi Pure Motorcycling, kehadiran Royal Enfield pada acara berkenaan bertujuan mengetengahkan gabungan antara kepakaran pertukangan tempatan, estetika kustom, dan ekspresi seni jalanan.

Tumpuan utama di reruai Royal Enfield adalah pelancaran julung kali jentera kustom OBSIDIAN. Motosikal berkonsepkan chopper ini telah dibina khas oleh pembina tempatan, Pa’din Musa daripada Abah & Sons Vintage Choppers, di bawah program Royal Enfield Custom World. Dibina berasaskan enjin Super Meteor 650, OBSIDIAN menampilkan sentuhan kustom binaan tangan merangkumi bahagian hadapan tirus (narrow front end), rim 21-inci di hadapan dan 18-inci di belakang, persediaan karburetor berkembar, klac kaki berserta jockey shifter, serta bar sissy belakang yang praktikal untuk pemanduan jarak jauh. Turut dipamerkan ialah Carolina Reaper, sebuah jentera kustom bergaya flat track yang dibina oleh pengubah suai terkenal dari Tokyo, Toshiyuki Osawa daripada Cheetah Custom Cycles. Berasaskan model baharu Royal Enfield Guerrilla 450 dengan enjin penyejuk cecair Sherpa 450 (452cc), jentera ini menerima kerangka belakang binaan tangan, kerja badan aluminium, serta swingarm keluli kromoli khas untuk prestasi litar tanah (flat track).

Bagi menambah kehangatan suasana, Royal Enfield turut menyediakan gelanggang papan seluncur (skate ramp) khas di tapak pameran bagi membolehkan pemain papan seluncur tempatan mempersembahkan aksi mereka. Langkah ini merupakan usaha jenama berkenaan dalam menghubungkan dua subkultur yang berteraskan kebebasan dan gaya kendiri. Para pengunjung acara turut berpeluang melakukan sesi tunggang uji untuk barisan motosikal standard Royal Enfield. Di samping aktiviti pameran, Royal Enfield Malaysia melalui pengedarnya, Didi Group, turut mengumumkan pendaftaran pakej pemilikan eksklusif bagi setiap pembelian motosikal Royal Enfield bermula 1 Ogos sehingga 30 September 2026. Pakej promosi tersebut merangkumi jaminan kilang selama lima tahun, servis percuma selama dua tahun, bantuan tepi jalan (Roadside Assistance) selama tiga tahun, serta cukai jalan percuma untuk tahun pertama.

Leave a Reply