KLIMS 2026 Menjelma 12 Jun Ini; Tumpu Konsep Festival Gaya Hidup Dan Budaya Automotif Menyeluruh

KUALA LUMPUR – Sidang Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2026) dijadualkan membuka tirainya secara rasmi pada 12 Jun 2026 dengan membawakan pendekatan baharu yang melangkaui format pameran kenderaan tradisional.

Bagi edisi kali ini, penganjur mengesahkan penglibatan sebanyak 18 jenama automotif, di samping menyediakan pelbagai aktiviti interaktif untuk menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada para pengunjung.

Langkah ini secara tidak langsung mengubah landskap KLIMS 2026 menjadi sebuah festival gaya hidup dan budaya kereta yang menggabungkan elemen automotif bersama industri kreatif, hiburan, serta pasaran hobi tempatan.

Peralihan konsep pameran ini diterjemahkan melalui penyediaan pelbagai zon tarikan, termasuk pentas muzik Riuh, sesi rakaman podcast secara langsung, persembahan selebriti, pasaran hobi, pertandingan DJ, serta kehadiran trak khas Pokemon Pokopia.

Bagaimanapun, peminat tegar dunia automotif masih ditawarkan dengan pengisian khusus di mana Hall 5 akan menempatkan barisan kenderaan konsep terbaharu dan komponen pasaran sekunder (aftermarket), manakala Hall 1 pula bakal dijadikan pusat pengumpulan serta perhimpunan kelab-kelab kereta tempatan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melakukan pandu uji melibatkan lebih 60 buah kenderaan yang disediakan sepanjang pameran berlangsung.

Bagi menambah keterujaan, aktiviti luar seperti litar halangan off-road Urban Play dan pameran jentera lumba eksklusif daripada Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) turut disediakan untuk tontonan awam.

Acara kali ini turut dimeriahkan dengan pertandingan kereta modifikasi Rolling Speed Modified Car Battle yang menawarkan hadiah tunai RM1,500 berserta trofi, selain pertandingan pentas gaya runway menerusi pencarian Duta Rasmi KLIMS Signature Ambassador yang bakal diwakili oleh jurucakap syarikat-syarikat automotif yang mengambil bahagian.

Pengunjung yang meminati aktiviti digital dan kawalan jauh juga boleh mencuba permainan simulator perlumbaan udara dan darat serta litar radio kawalan (RC) yang disediakan khas di tapak acara.

Sebagai strategi menarik kehadiran orang ramai, penganjur mengumumkan struktur harga tiket komersial yang fleksibel, termasuk pemberian akses masuk percuma kepada semua pengunjung dari hari Isnin hingga Khamis.

Bagi kunjungan pada hujung minggu iaitu dari Jumaat hingga Ahad, tiket masuk biasa dikenakan bayaran RM30, manakala pakej bundlebagi 5 keping tiket ditawarkan pada harga RM100 yang memberikan penjimatan sebanyak RM50.

Bagi individu yang memerlukan akses tanpa had sepanjang tempoh pameran, pas Unlimited Access boleh diperolehi pada harga RM80, dengan waktu operasi pameran ditetapkan dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Leave a comment