TGR Racing Malaysia Lebar Sayap ke Thailand Super Series; Pertaruh Jentera GR Supra GT4 EVO2 dan Barisan Pemandu Elit Tempatan

KLANG, 16 MAC 2026 – UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini secara rasmi mengumumkan penubuhan TGR Racing Malaysia, sebuah pasukan lumba pengeluar yang bakal menggalas cabaran dalam kategori GT4 di Thailand Super Series (TSS) 2026. Langkah strategik ini menandakan fasa evolusi seterusnya bagi Toyota di Malaysia, beralih daripada kejayaan lapan musim siri satu model Vios Challenge kepada persaingan sengit di pentas Grand Tourer (GT) serantau.

Pasukan ini akan mempertaruhkan dua jentera Toyota GR Supra GT4 EVO2 yang dibangunkan khusus oleh TGR Racing Europe. Jentera ini merupakan evolusi teknikal yang menerima penambahbaikan signifikan pada sistem brek, tetapan penyerap hentak, serta kalibrasi ABS yang lebih jitu hasil maklum balas daripada litar lumba seluruh dunia. Di bawah seliaan krew teknikal gabungan kepakaran Malaysia dan Jepun, jentera ini bakal berentap dengan pesaing hebat lain seperti Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport dan Mercedes AMG GT4 dalam kalendar lima pusingan yang cukup mencabar.

Bagi memastikan impak maksimum dalam musim sulung ini, TGR Racing Malaysia mempertaruhkan barisan “All-Malaysian” yang menggabungkan kematangan otai litar dan kepantasan bakat muda. Menerajui cabaran pasukan ialah Shaun Thong, 31, pemandu paling berpengalaman yang memiliki rekod lebih 250 perlumbaan antarabangsa. Beliau memegang status unik sebagai satu-satunya pemandu Malaysia yang pernah memenangi perlumbaan Fuji 24 Hours sebanyak dua kali, selain pernah bergelar juara Super Taikyu GT3 di Jepun. Pengalaman luas Shaun dalam perlumbaan ketahanan (endurance) di peringkat global bakal menjadi tunjang utama pasukan dalam mengumpul data teknikal di litar.

Melengkapkan gandingan senior ialah Weiron Tan, 31, yang mempunyai reputasi tinggi sebagai bekas pemandu pembangunan Caterham F1 Academy dan pemandu works Audi Sport Asia. Weiron sebelum ini melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi perlumbaan litar di Amerika Syarikat menerusi Pro Mazda Championship dan pernah menaiki podium dalam siri World Endurance Championship (WEC). Kehadiran beliau memberikan kelebihan dari segi kepakaran melaras jentera lumba pada tahap prestasi tertinggi.

Di samping barisan senior, pasukan ini turut memberi laluan kepada Nazim Azman, 24, pemandu yang melonjak naik menerusi siri FIA Formula 3 dan Porsche Carrera Cup Asia. Nazim membawa disiplin pemanduan jentera formula yang jitu ke dalam kokpit GT4, menjadikannya antara pemandu muda yang paling diperhatikan di rantau ini. Melengkapkan kuartet ini ialah Putera Adam, pemandu termuda berusia 19 tahun yang merupakan produk sulung Program Pembangunan Bakat Muda Toyota GAZOO Racing Malaysia. Putera baru sahaja mencatat sejarah sebagai juara keseluruhan kategori PRO Lamborghini Super Trofeo Europe 2025, sekali gus membuktikan kualiti latihan yang diterimanya sejak memulakan karier dalam kelas Rookie Vios Challenge.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., menyatakan bahawa penubuhan pasukan ini adalah komitmen berterusan Toyota dalam membangunkan ekosistem sukan permotoran negara. Beliau menekankan bahawa objektif utama bukan sekadar mengejar kemenangan, malah menjadi platform pemindahan teknologi dan ilmu operasi perlumbaan kepada krew tempatan yang bekerja rapat dengan pakar dari Jepun.

Musim 2026 akan dimulakan dengan ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Chang, Buriram pada April ini. Peminat sukan permotoran tempatan berpeluang menyaksikan aksi TGR Racing Malaysia secara dekat apabila kejohanan ini singgah ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang untuk Pusingan 3 dan 4 pada bulan Ogos dan September depan, sebelum kempen berakhir semula di Thailand pada November.

Leave a comment