
KUALA LUMPUR – Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah memberikan bayangan awal bagi model elektrik sepenuhnya (EV) yang amat dinantikan, Mercedes-Benz CLA baharu. Pratonton eksklusif ini berlangsung di pusat pameran Stars@Mercedes-Benz Bangsar dari 15 hingga 18 Januari 2026, menandakan lembaran baharu dalam mobiliti mewah bagi jenama itu di Malaysia.
Perisian Pintar dan Integrasi AI
Model CLA generasi ketiga ini merupakan kenderaan pertama yang menggunakan sistem operasi MB.OS yang dibangunkan secara dalaman. Keunggulan sistem ini terletak pada keupayaannya untuk melakukan kemas kini over-the-air (OTA), memastikan fungsi kenderaan dan sistem bantuan pemanduan sentiasa dikemas kini.
Di bahagian kabin, tumpuan utama terarah kepada MBUX Virtual Assistant yang kini lebih pintar dengan sokongan AI generatif. Sistem ini mampu melakukan perbualan kompleks dan mengingati konteks perbualan jangka pendek. Dengan integrasi ChatGPT, Microsoft Bing, serta data navigasi daripada Google Gemini dan Google Maps, pemandu boleh mendapatkan maklumat lokasi dan jawapan peribadi dengan lebih tepat melalui avatar ‘living’ pada skrin utama.
Prestasi Elektrik dan Kecekapan Luar Biasa
Dari aspek teknikal, Mercedes-Benz CLA 250+ yang bakal dipasarkan di Malaysia ini mempamerkan kecekapan tenaga yang mengagumkan, dengan kadar penggunaan serendah 12.2 kWh bagi setiap 100 km. Kecekapan ini disokong oleh penggunaan transmisi dua kelajuan pada motor elektrik belakangnya—satu ciri yang jarang ditemui pada EV arus perdana—di mana gear pertama mengutamakan pecutan dan gear kedua dioptimumkan untuk kecekapan pada kelajuan tinggi.
Model ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 272 hp dan tork 335 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 6.7 saat. Jarak gerak maksimum yang ditawarkan mencecah sehingga 792 km (WLTP) hasil daripada penggunaan bateri 85 kWh (NMC) yang mempunyai ketumpatan tenaga 20% lebih tinggi berbanding teknologi sebelumnya.
Teknologi Pengecasan 800-Volt

Satu lagi keunggulan CLA elektrik ini adalah seni bina elektrik 800-volt yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 320 kW. Di stesen pengecasan yang menyokong kuasa tersebut, pemandu hanya memerlukan masa 10 minit untuk menambah jarak gerak sejauh 325 km. Manakala bagi pengecasan AC, ia menyokong sehingga 11 kW yang membolehkan pengecasan penuh dilakukan dalam tempoh kira-kira 11 jam.
Rekabentuk dan Kepraktisan
Reka bentuk luarannya mengekalkan profil aerodynamic yang licin dengan pekali seretan hanya 0.21 Cd. Wajah hadapan dihiasi dengan panel bintang yang diterangi oleh 142 lampu LED, manakala bumbung kaca panoramik tanpa palang tengah memberikan suasana kabin yang lebih luas.
Buat pertama kalinya, Mercedes-Benz menyertakan ruang simpanan hadapan atau ‘frunk‘ sebesar 101 liter untuk kemudahan tambahan, melengkapi ruang but belakang yang berkapasiti 405 liter.
Harga dan Ketersediaan
Mercedes-Benz CLA 250+ dengan Teknologi EQ kini dibuka untuk tempahan dengan anggaran harga bermula dari RM295,888 (termasuk 10% SST) untuk pasaran Semenanjung Malaysia. Pelancaran rasmi dan penghantaran unit pertama dijangka bermula pada suku kedua tahun 2026.





