Honda Prelude Muncul Dalam Video Honda Malaysia – Bakal dilancar?

KUALA LUMPUR, 24 November 2025 – Honda Malaysia menayangkan Honda Prelude dalam video ulang tahun ke-25 syarikat sekaligus memberi peminat satu harapan bahawa coupe dua pintu ini mungkin akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

Honda Malaysia menayangkan Honda Prelude dalam klip video media sosial sempena sambutan ulang tahun ke-25 syarikat. Kemunculan coupe dua pintu ini memberi isyarat bahawa model tersebut mungkin akan tiba di pasaran Malaysia.

Honda Prelude telah dijual di Jepun sejak September dan dijadualkan untuk pasaran Amerika Syarikat pada akhir tahun ini dan ditawarkan di Jepun harga bermula 6,179,800 yen (kira-kira RM177,000) Jangkaan kami Prelude berkemungkina berharga sekitar RM220K – RM250K jika ia diperkenalkan.

Dengan keadaan persaingan yang semakin sengit, Honda perlu meningkatkan imej teknologi mereka dan Prelude adalah produk yang mampu melakukan transformasi tersebut.

Honda Prelude generasi terkini berkod BF1 adalah coupe 2+2 yang menggunakan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dari Civic e:HEV. Sistem ini menggabungkan enjin petrol empat silinder segaris 2.0 liter kitaran Atkinson dengan motor elektrik untuk memacu roda hadapan.

Enjin berkod LFC-H4 menghasilkan 141 PS pada 6,000 rpm dan tork 182 Nm pada 4,500 rpm. Motor elektrik pula menghasilkan 184 PS dan 315 Nm untuk roda hadapan. Enjin juga boleh disambung terus untuk memacu roda pada kelajuan tinggi apabila lebih cekap berbuat demikian. Jumlah output sistem adalah 203 PS.

Walaupun sistem kuasa Prelude dikongsi dengan Civic e:HEV, beberapa komponen casis diambil dari Civic Type R FL5 seperti sistem suspensi strut paksi dwi hadapan dan peredam adaptif. Prelude menggunakan roda aloi 19 inci dengan tayar 235/40R19.

Selain beberapa mod pemanduan, Prelude menawarkan mod S+ Shift yang meniru ciri-ciri transmisi automatik lapan kelajuan. Pemandu boleh “menukar gear” melalui paddle di stereng. Prelude juga dilengkapi dengan Honda Agile Handling Assist yang dikatakan meningkatkan tindak balas stereng dan kestabilan semasa membelok, dengan julat aplikasi baharu yang diperluaskan termasuk brek.

Honda Malaysia belum membuat pengumuman rasmi mengenai pelancaran Prelude di Malaysia. Peminat Honda di Malaysia kini menanti maklumat lanjut mengenai ketersediaan dan harga model ini.

Leave a comment