
Perodua memecah acuan industri automotif di Malaysia dengan memperkenalkan produk perisian berbentuk Super App yang merangkumi dompet elektronik, pasaran, perancangan perjalanan, sosial dan hiburan yang juga berupaya berhubung dengan jam tangan pintar, kereta Perodua dan peralatan rumah.
Platform digital baharu P-Circle yang menghampiri konsep Mobiliti sebagai Perkhidmatan (Mobility as a Service/MaaS) di bawah satu aplikasi super meruapakan langkah pertama Perodua dalam mengintegrasikan produk dan perkhidmatan gaya hidup.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata P-Circle menawarkan mobiliti sebagai gaya hidup kerana semua tawaran ini merangkumi sebahagian besar penglibatan perkhidmatan dalam talian di bawah satu aplikasi super.

“Kepelbagaian ke dalam perniagaan berasaskan teknologi ini selaras dengan hala tuju masa depan kami dan masa depan industri automotif dari segi penumpuan dengan keutamaan pengguna ke arah menghubungkan kenderaan mereka, dan juga rumah dengan Internet,” kata Dato’ Sri Zainal.
“Kami meramalkan penumpuan ini hanya akan berkembang lebih kukuh pada tahun-tahun akan datang, dan kami mahu membuktikan bahawa kami boleh berinovasi dengan menyediakan semua perkhidmatan yang diperlukan pelanggan kami sebelum mereka memintanya – yang selaras dengan falsafah ‘We Go Beyond’ kami,” jelasnya.
Salah satu komponen utama P-Circle ialah P Duit, sebuah dompet elektronik yang memudahkan pembayaran untuk hampir semua transaksi di Malaysia.

“Ciri ini akan berguna untuk mereka yang ingin memiliki EV (kenderaan elektrik) pertama kami kerana kami telah membuat perjanjian dengan semua pengendali titik pengecasan untuk bersetuju menerima pembayaran daripada dompet elektronik kami,” kata Dato’ Sri Zainal.
Beliau menambah bahawa “P Vehicle” hanya akan disediakan selepas pelancaran EV Perodua.
P-Circle menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk P-Duit (dompet elektronik), P-Calendar (aplikasi peringatan), P-Reward (program kesetiaan), P-Health (jam tangan pintar), PAC Home (port pengecas rumah), P-Charge (titik pengecasan mudah alih untuk EV), P-Charge Mobile (pengecasan kecemasan EV), P Marketplace (platform e-dagang), P-Chat (forum pengguna), P-Entertainment (platform penstriman), P Vehicle (modul kawalan jauh EV), Check-in (semakan lokasi), P-Home (aplikasi rumah pintar) dan P-Map (sistem navigasi Perodua).
Aplikasi P-Circle boleh dimuat turun daripada Apple App Store dan Google Play App. Pengecas mudah alih dan jam tangan pintar boleh dibeli di mana-mana cawangan Jualan dan Servis Perodua di seluruh negara.





