
Proton Saga memasuki tahun ke-40 pengeluaran berterusan dengan pencapaian ketara dalam peningkatan kualiti apabila skor audit Global Consumer Product Audit (GCPA) jatuh drastik daripada 2,580 mata pada Ogos 2024 kepada 1,050 mata pada Mei 2025, menyamai pesaing terdekatnya.
Kereta pertama Malaysia ini kekal relevan sebagai pilihan utama pembeli kali pertama dengan lebih 2 juta unit terjual di seluruh dunia, menjadikannya model terlaris dan paling lama bertahan dalam sejarah Proton.
Kajian pasaran terbaru menunjukkan 64 peratus pembeli Saga adalah pemilik kereta kali pertama, membuktikan peranan berterusan model ini sebagai kenderaan peringkat permulaan yang ideal untuk graduan baharu dan pelajar kolej.

Bagi segmen sedan A ini, faktor yang menarik pembeli muda termasuk prestasi yang baik, pemanduan yang lancar, penyelenggaraan rendah, kecekapan bahan api dan ruang dalaman yang luas. Sistem infotainment dengan monitor skrin sentuh terapung 7-inci dan sambungan Bluetooth turut menarik perhatian pembeli muda.
Daripada 57,674 sampel yang diambil dalam tinjauan akhir tahun lalu, kira-kira 59 peratus pembeli adalah lelaki manakala 41 peratus wanita, menunjukkan daya tarikan model ini kepada kedua-dua jantina. Dari segi peringkat kehidupan, 48 peratus pemilik Saga sudah berkahwin dan mempunyai anak manakala 41 peratus masih bujang.
Selebihnya 18 peratus adalah pembeli kereta tambahan dan 17 peratus pembeli kereta pengganti, menunjukkan keupayaan Saga memenuhi keperluan pelbagai kumpulan dari urusan harian hingga perjalanan hujung minggu.

Eksekutif Program Kenderaan, Desmond John Pinto berkata Saga lebih daripada sekadar kereta kerana ia melambangkan kemajuan negara, mobiliti dan pencapaian harian yang masih mendorong Malaysia ke hadapan satu keluarga dan pemilik kali pertama pada satu masa.
“Ketika kami meraikan ulang tahun ke-40 tahun ini, ikon yang berkekalan ini kekal sebagai simbol kemajuan negara. Perjalanan berterusan dan dengan model baharu di kaki langit, Saga bersedia untuk mentakrifkan semula warisannya untuk generasi akan datang,” katanya.
Pembeli memilih Saga berbanding pesaing kerana harga yang berpatutan, rekaan menarik, kebolehpanduan yang lebih baik dari segi kestabilan dan pengendalian serta kos penyelenggaraan yang lebih mampu milik.

GCPA yang merupakan kayu ukur audit kualiti yang digunakan kumpulan Geely dan diterima pakai Proton menilai isu barisan pengeluaran berdasarkan keterukan dengan skor rendah menunjukkan kualiti tinggi.
Bagi meraikan warisan model yang berkekalan dan berhubung dengan pangkalan pelanggan setia, Proton telah melancarkan peraduan pandu uji “SAGA, A True Malaysian ICON” yang berlangsung dari 3 Mei hingga 31 Julai 2025.


Peserta perlu melawat mana-mana outlet Proton di Lembah Klang, mengambil Saga untuk pandu uji dan memuat naik foto atau video pengalaman mereka ke platform media sosial dengan hashtag #SAGATrueMalaysianICON. Pemenang akan dipilih melalui cabutan secara langsung di saluran media sosial rasmi Proton dengan hadiah tunggangan eksklusif bersama duta kempen termasuk penyanyi Irfan Haris, pencipta kandungan Jayden Chong dan penyanyi Mimiflyy.
Sempena ulang tahun ke-40, model Hot Wheels Proton Saga edisi terhad baharu dalam warna putih yang sepadan dengan kereta asal yang dilancarkan pada 9 Julai 1985 kini tersedia di kedai runcit dan outlet Proton seluruh negara.







