
- Tampil Dengan Pengecaman Suara Bahasa Melayu Pertama Dunia
- SUV Terlaris Malaysia Kembali: Proton X50 Baharu Lebih Pantas, Jimat Minyak
- Proton X50 Baharu Pecah Rekod Pecutan, Buka Tempahan Hari Ini
Seramai 10,000 pelanggan pertama yang menempah Proton X50 baharu akan menerima rebat tunai RM1,000 dalam tawaran tempahan awal yang dimulakan hari ini oleh pengeluar kereta nasional itu.
Proton mengumumkan pembukaan tempahan melalui majlis di Setia City Mall dengan tema “All-New Proton X50: Ready to Roar”, sambil menawarkan pakej ganjaran menarik kepada pembeli terawal SUV segmen-B yang telah menjadi penjual terlaris di Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

Model X50 baharu ini dilengkapi enjin i-GT 1.5 TD dan transmisi 7-speed DCT yang mampu menghasilkan 133 kW kuasa dan 290 Nm tork, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat – lebih pantas 0.3 saat berbanding model sebelumnya. Kecekapan bahan api juga meningkat 4.7 peratus.
Antara ciri baharu yang paling menarik perhatian ialah sistem infotainmen 14.6-inci dengan pengecaman suara Bahasa Melayu pertama di dunia, sistem keselamatan ADAS Level 2 yang dinaik taraf, dan reka bentuk baharu yang lebih berani. Proton menyatakan kesemua ciri tambahan baharu ini bernilai lebih RM10,000.
Tawaran “Ready to Roar Package” yang terhad kepada 10,000 pelanggan pertama ini turut merangkumi kad Touch ‘n Go edisi khas dan tawaran “Gempak” eksklusif yang akan didedahkan semasa majlis pelancaran rasmi nanti. Tempahan perlu dibuat dari 5 Julai hingga tarikh pelancaran untuk layak menerima ganjaran bernilai tinggi ini.

Sebagai sebahagian daripada kempen pemasaran, Proton bekerjasama dengan kumpulan muzik De Fam untuk mencipta lagu rasmi bertajuk “All-New Proton X50 Ready, Set, Roar” yang akan digunakan dalam kandungan media sosial dan persembahan langsung.
Proton turut melancarkan “Roar of Amazement Tour” yang bermula hujung minggu ini di seluruh negara, memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat model baharu ini secara dekat dan memenangi hadiah melalui pelbagai aktiviti.
Model X50 asal yang diperkenalkan pada 2020 telah mencatatkan jualan lebih 140,000 unit di Malaysia dan merupakan produk global dengan lebih 1.2 juta jualan gabungan merentas 51 negara melalui kerjasama dengan Geely yang menjualnya sebagai Binyue dan Coolray di pasaran lain.
Proton X50 baharu ditawarkan dalam tiga varian – Executive, Premium, dan Flagship. Tempahan boleh dibuat di Setia City Mall pada 5 dan 6 Julai, bilik pameran Proton terpilih, atau melalui laman web rasmi di Proton.com.





