
GGR Motor, sebuah syarikat automotif tempatan yang ditubuhkan pada awal tahun 2024 sebagai GGR Legacy (M) Sdn Bhd dan dikenali sebagai pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama milik penuh Bumiputera di Malaysia, kini melangkah setapak ke hadapan. Dengan inspirasi nama daripada filem popular “Gila-Gila Remaja”, GGR Motor memperkenalkan inisiatif “Go Green Revolution” menerusi pelancaran motosikal elektrik (EV) terkini mereka bersama Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn Bhd selaku “Rakan Strategik Eksklusif” dan pengedar sah utama motosikal EV.
Majlis pelancaran rasmi yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung pada 28 Jun ini di Saloma Kuala Lumpur dan akan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman. Kehadiran beliau menegaskan sokongan padu terhadap perkembangan teknologi hijau dan inovasi anak tempatan, terutamanya graduan lepasan TVET MARA, IKM Beseri, dan UNIKL MFI (Automotif), yang merupakan tulang belakang kepada tenaga kerja mahir GGR Motor.
Program selama sehari ini turut akan dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air. Penglibatan selebriti ini dijangka akan meningkatkan kesedaran awam dan menarik minat generasi muda terhadap kenderaan elektrik sebagai pilihan mobiliti masa depan.
Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, pelancaran ini adalah langkah permulaan ke arah memperluaskan penggunaan motosikal elektrik dalam kalangan masyarakat, dengan pendekatan lebih mesra pengguna dan menjangkau generasi muda.
“Acara akan bermula seawal jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang dengan sesi pelancaran, pameran produk, jaringan pelabur, dan sesi bersama pihak media. Aktiviti pada sebelah malam pula akan lebih santai dan meriah dengan persembahan komuniti, sesi ‘test ride’ motosikal EV, cabutan bertuah, dan aktiviti santai bersama pencinta EV. Saya percaya apabila artis sendiri menggunakan EV, ia memberikan impak yang lebih besar dari segi capaian dan kesedaran awam,” jelas Muhammad Mussadiq.
Beliau menambah, “Kami menjemput artis yang kami kenali secara peribadi seperti Johan Raja Lawak, Cat Farish, Ajak Shiro, dan Nabil Ahmad untuk terlibat dalam program ini. Mereka bukan sekadar selebriti, tetapi sahabat lama yang saya percaya mampu membawa nilai positif kepada jenama.” Muhammad Mussadiq turut mendedahkan bahawa Johan, yang juga terkenal dengan jenama makanan Itik ke Ayam?, bakal menjadi antara rakan kolaborasi utama dalam usaha membuka cawangan kedai bersama artis terpilih selepas majlis pelancaran nanti. Langkah ini diharap dapat menjadi batu loncatan ke arah perkembangan jenama GGR Motor secara lebih meluas di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Motosikal Elektrik Lion G1: Prestasi dan Mampu Milik Buatan Malaysia
Fokus utama GGR Motor adalah untuk menyediakan motosikal elektrik berkualiti tinggi pada harga mampu milik. Model sulung mereka, Lion G1, telah meraih kejayaan luar biasa dengan penjualan 2,400 unit dalam masa hanya tujuh hari selepas diperkenalkan. Motosikal ini ditawarkan pada harga RM3,999 sebelum subsidi, dan menjadi serendah RM1,599 selepas insentif MARiiCas (menjadikannya RM2,054 atas jalan), menjadikannya motosikal EV paling mampu milik di pasaran tempatan.
Dari segi spesifikasi teknikal, Lion G1 dikuasakan oleh motor elektrik 3,000 watt (bersamaan 4 hp) dan tork 140 Nm yang mengagumkan. Ia dilengkapi dengan pek bateri graphene 32 Ah dan 72 voltan, membolehkan jarak perjalanan sehingga 120 km dengan satu pengecasan penuh. Selain itu, motosikal ini menyokong ciri pengecasan pantas, mencapai 50% pengecasan dalam hanya 30 minit. GGR Motor juga menawarkan jaminan komprehensif sehingga 50,000 km yang meliputi bateri, motor, dan pengawal (controller), memberikan keyakinan kepada pengguna. Kelajuan tertinggi yang boleh dicapai oleh Lion G1 adalah 70 km/j.
Pemasangan Tempatan dan Pengembangan Kilang EV Bumiputera Pertama
GGR Motor kini beroperasi di kemudahan pemasangan seluas 0.4 hektar di Sungai Penchala, Kuala Lumpur. Namun, seiring dengan permintaan yang tinggi, mereka sedang giat memperluaskan kapasiti pengeluaran dengan pembangunan kilang EV baharu yang merupakan milik penuh Bumiputera dan menampilkan barisan pengeluaran automatik canggih. Kilang baharu ini dibangunkan melalui kerjasama strategik dengan China, yang akan melibatkan pemindahan teknologi terkini sambil tetap mengekalkan tenaga kerja tempatan yang mahir dan memastikan integrasi logistik yang lancar dengan infrastruktur sedia ada.
Kilang baharu ini dijangka akan mewujudkan lebih 50 peluang pekerjaan baharu, khususnya dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik. GGR Motor juga komited untuk melancarkan lima model motosikal elektrik baharu menjelang akhir Jun 2025 untuk memenuhi keperluan pasaran yang lebih luas.
Dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan dan sokongan terhadap inisiatif hijau ini, GGR Motor turut mengumumkan penajaan dua unit Lion G1 e-bike (bernilai RM2,054 setiap satu) sebagai hadiah rasmi kepada penonton bertuah pada konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025), yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025 di Litar Antarabangsa Sepang. “Penajaan ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan manfaat kepada rakan-rakan serta menyemai semangat perubahan ke arah penggunaan kenderaan elektrik,” ulas Muhammad Mussadiq.
Antara selebriti yang dijangka akan hadir memeriahkan majlis pelancaran ini termasuk Bella Astillah, Johan Raja Lawak, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil, dan Cat Farish. Muhammad Mussadiq menegaskan, “Ini bukan hanya tentang produk, tetapi tentang membawa perubahan budaya. Kita mahu generasi akan datang melihat mobiliti hijau sebagai gaya hidup harian.”
Sebagai kemuncak acara pelancaran rasmi motosikal EV mereka, Muhammad Mussadiq turut memaklumkan bahawa GGR Motor telah menyampaikan hasrat kepada pejabat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk melancarkan secara rasmi motosikal elektrik (EV) keluaran mereka. Ini menunjukkan komitmen tinggi GGR Motor dalam menyokong agenda mobiliti hijau negara.
Dengan visi yang jelas dan strategi pemasaran yang inovatif, GGR Motor komited untuk menjadi peneraju dalam segmen motosikal elektrik mampu milik di Malaysia, menyumbang kepada sasaran jualan 30,000 unit menjelang akhir 2025, dan membuka jalan kepada masa depan pengangkutan yang lebih hijau serta memperkasakan industri automotif tempatan.

