HONDA MALAYSIA MENARIK BALIK 87,490 UNIT KENDERAAN UNTUK PENGGANTIAN PAM BAHAN API

Honda Malaysia memberi jaminan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa tidak terjejas dalam penarikan balik produk ini

PETALING JAYA, 10 Jun 2025 – Honda Malaysia hari ini mengumumkan penarikan balik produk yang melibatkan 87,490 unit kenderaan Honda untuk menggantikan pam bahan apinya sebagai langkah berjaga-jaga.

A. Impeller Pam Bahan Api

Kipas pam bahan api mungkin mengembang selepas terendam bahan api untuk tempoh yang lama, berpotensi menghalang kenderaan daripada dihidupkan atau menyebabkan enjin terhenti semasa memandu. Sebanyak 84,073 unit Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey terlibat. Butiran model yang terjejas adalah dalam Jadual 1.

Jadual 1: Model yang terlibat dalam penarikan balik produk untuk pengembangan kipas pam bahan api

ModelTahun Model
Jazz2015 – 2020
Jazz (Hibrid)2018
City2014 – 2019
City (Hibrid)2018 – 2019
Civic2017 – 2018
Accord2013 – 2017
BR-V2017 – 2018
HR-V2015 – 2018
CR-V2018 – 2020
Odyssey2017 – 2019
B. Pam Bahan Api Tekanan Tinggi

Pam bahan api tekanan tinggi mungkin retak akibat penggunaan yang berpanjangan dan tekanan berlebihan, berpotensi menyebabkan kebocoran bahan api atau menimbulkan bau bahan api semasa memandu atau melahu. Sebanyak 3,417 unit Civic dan CR-V terlibat. Butiran model yang terjejas adalah dalam Jadual 2.

Jadual 2: Model yang terlibat dalam penarikan balik produk untuk pam bahan api tekanan tinggi

ModelTahun Model
Civic2023 – 2024
CR-V2024

Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa semua model pengeluaran dan jualan semasa tidak terjejas dalam penarikan balik produk ini.

Syarikat percaya penarikan balik produk ini perlu kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan utama Honda Malaysia. Syarikat akan terus mengambil langkah proaktif dan menegakkan ketelusan serta kawalan yang ketat untuk memastikan keselamatan pelanggannya. Oleh itu, Honda Malaysia memperluaskan penarikan balik kepada model yang tempoh warrantinya telah tamat.

Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang akan merangkumi butiran penarikan balik produk. Pelanggan juga boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terjejas dalam penarikan balik melalui aplikasi HondaTouch. Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terjejas menghubungi mana-mana pengedar Honda yang dibenarkan untuk membuat temujanji selepas menerima pemberitahuan bagi menggantikan pam bahan api, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

Penggantian pam bahan api yang terjejas dan pam bahan api tekanan tinggi adalah percuma dan semua kos yang berkaitan dengan aktiviti penggantian ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok penggantian akan tersedia secara berperingkat.

Sehingga hari ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu ini dilaporkan di Malaysia.

Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat atau menyemak status kenderaan mereka mengenai penarikan balik produk dalam aplikasi HondaTouch atau dengan menghubungi nombor Bebas Tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau log masuk ke http://www.honda.com.my / productrecall.honda.com.my untuk menyemak status kenderaan mereka.


Leave a comment