BYD Seal Dynamic Sedan elektrik paling mampu milik

Sime Darby Motors kini melengkapkan rangkaian BYD Seal di Malaysia dengan pelancaran varian terbaharu, BYD Seal Dynamic.

Varian ini menyertai dua model sedia ada, Premium dan Performance, memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna tempatan yang ingin memiliki kenderaan elektrik (EV) dengan teknologi terkini pada harga yang lebih kompetitif.

Pelancaran ini menambah kepada lebih 2,200 unit BYD Seal yang telah didaftarkan setakat Ogos 2024, menjadikan BYD Seal salah satu EV paling popular di Malaysia.

BYD Seal Dynamic dijual pada harga bermula RM163,800, menjadikannya pilihan menarik untuk mereka yang inginkan sedan elektrik bergaya dengan teknologi canggih. Ianya kini EV sedan paling mampu milik di Malaysia.

Harga semua EV sedan yang berada di pasaran Malaysia September 2024:

BYD Seal Dynamic: RM163,800

Tesla Model 3: RM181,000 – RM218,000

BYD Seal: RM180,430 – RM200,430

Ora 07 Long Range: RM169,800

Ora 07 Performance: RM190,000

Hyundai Ioniq 6: RM219,888

Mercedes-Benz EQE: RM419,888

BMW i4: RM399,800 – RM445,800

Mercedes-Benz EQS: RM698,888

Lebih menarik, 100 pembeli pertama varian ini akan menerima pengecas dinding rumah secara percuma sebagai tawaran pengenalan.

Selain itu, varian ini turut dilengkapi jaminan selama 6 tahun atau 150,000 km untuk kenderaan, 8 tahun atau 160,000 km untuk bateri, dan 8 tahun atau 150,000 km untuk unit pemanduan.

Varian Dynamic ini didorong oleh motor elektrik dengan kuasa maksimum 150 kW (201 hp) dan tork 310 Nm, membolehkannya mencapai kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.5 saat.

Dilengkapi bateri Blade 61.44 kWh, varian ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 510 km di bawah kitaran NEDC. Varian ini turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 110 kW, memberikan kemudahan tambahan kepada pengguna.

Sime Darby Motors, pengedar rasmi BYD di Malaysia, turut menyatakan komitmen mereka dalam menyediakan sokongan selepas jualan yang unggul bagi menyokong aspirasi EV negara.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Andrew Basham, menyatakan bahawa populariti BYD Seal adalah bukti bahawa pasaran Malaysia menerima baik EV yang ditawarkan pada harga kompetitif tanpa menjejaskan reka bentuk dan teknologi terkini.

Selain itu, Sime Darby Motors juga memperkenalkan penambahbaikan kepada model BYD ATTO 3 dengan kapasiti bateri yang lebih besar, iaitu 60.48 kWh, memberikan jarak pemanduan sehingga 480 km. Pembeli 300 unit pertama BYD ATTO 3 ini juga akan menikmati pengecas rumah Wallbox, pakej servis 3 tahun, dan cukai jalan percuma selama 4 tahun.

Dengan varian baharu ini, BYD Seal kini hadir dalam tiga pilihan warna: Cosmos Black dan Aurora White untuk varian Dynamic, Premium dan Performance, manakala Atlantis Grey dan Arctic Blue khusus untuk varian Premium dan Performance. Kombinasi reka bentuk coupe yang anggun dengan teknologi canggih menjadikan BYD Seal pilihan EV yang kompetitif di pasaran Malaysia.

Leave a comment