
- Jualan kenderaan elektrik dijangka meningkat kepada 10% daripada Jumlah Industri Keseluruhan (TIV) pada 2024.
- Jangkaan MAA menunjukkan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) akan menyumbang 2% TIV, manakala hibrid mendominasi dengan 8%.
- Ramalan tidak termasuk Tesla, yang dijangka dapat menjual kira-kira 1,000 unit sebulan pada 2024.
Menurut, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) peningkatan ketara jualan Kenderaan Berelektrik (xEV) di Malaysia akan berlaku pada 2024 dengan perkiraan kenaikan kepada 10% daripada Jumlah Industri Keseluruhan (TIV) pada tahun 2024.
Ini dua kali ganda daripada 4.7 TIV yang dicapai pada tahun 2023.
Menurut MAA, jangkaan mereka meramalkan bahawa Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) akan menyumbang sebanyak 2% kepada TIV, sementara kenderaan hibrid akan mendominasi pasaran dengan 8%.
Peningkatan signifikan ini dijangka didorong oleh pelbagai faktor, termasuk sokongan kerajaan yang berterusan untuk menggalakkan penggunaan xEV, pelancaran model-model baru, dan harga yang lebih bersaing.
MAA menunjurkan jualan sebanyak 740,000 unit pada 2024, ini bermakna kenderaan bateri elektrik dijangka mencapai sekitar 15,000 unit.

Walau bagaimanapun, ramalan ini tidak termasuk jualan Tesla, yang dijangka dapat menjual kira-kira 1,000 unit sebulan pada tahun 2024. Dengan wujudnya pemain besar seperti Tesla dalam pasaran, ini memberi dimensi baru kepada landskap jualan xEV di Malaysia.
Selain dari itu ada bebrapa model elektrik baru yang dijangka masuk ke pasaran untuk menjadikannya lebih dinamik antaranya ialah BYD Seal, Chery Omoda E5, Dongfeng Nami dan juga Neta V yang mungkin akhirnya memasuki pasaran.

Minat terhadap kenderaan berelektrik jnuga dijangka meningkat mendadak sekiranya pihak kerajaan memulakan program subsidi tersasar yang mungkin menjadikan harga petrol dan disel meningkat kepada mereka yung tidak layak menerima bantuan harga.
Segmen Hybrid juga dijangka akan menjadi lebih panas dengan beberapa model yang dijangka masuk ke pasaran, termasuk Yaris Cross, Haval H6 dan lain lain.
Honda dan Toyota merupakan dua jenama Jepun yang sedang gigih membina pasaran hybrid di Malaysia, mereka disertai beberapa jenama Jerman seperti BMW dan Mercedes Benz yang juga menawarkan model berelektrik.
Tahun ini kita juga dijangka melihat kerajaan membeli kenderaan elektrik untuk kegunaan jabatan dan pengangkutan VIP.

Walaupun angka belian tidak besar pada tahun ini ia dijangka dapat mendatangkan impak kepada persepsi pentadbir mengenai kenderaan elektrik.
Pengalaman sendiri mengendali kenderaan elektrik akan membentuk pandangan yang lebih tepat dan komprehensif mengenai ekosistem kenderaan elektrik yang sedang dibina kerajaan
Jika peningkatan ini berterusan dalam beberapa tahun akan datang, Malaysia dijangka akan mencapai 10% TIV untuk Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) pada tahun 2026-2027. Ini menunjukkan perubahan positif dalam penerimaan dan permintaan terhadap teknologi hijau dalam kalangan pengguna Malaysia.

Peningkatan jualan xEV bukan sahaja mencerminkan kesedaran terhadap impak alam sekitar, tetapi juga menunjukkan transformasi dalam industri automotif Malaysia ke arah inovasi dan kelestarian.
Dengan sokongan kerajaan yang berterusan dan ketersediaan model-model baru yang inovatif, Malaysia semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon utama dalam penerapan kenderaan elektrik.


