Smart #1 diibuka untuk tempahan, 501 pelanggan pertama dapat caj percuma bernilai RM1001. Harga RM200K-RM250K

Smart Malaysia mula membuka tempahan untuk model smart #1 sempena penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) yang diperbaharui antara smart & PROTON di Nanning, China.

Inisiatif ini menjadikan Malaysia sebagai negara ASEAN pertama yang menerima tempahan pelanggan untuk EV smart #1 yang popular.

Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, menyatakan, “Ini bermakna smart Malaysia bersedia menghantar kenderaan kepada pelanggan pada suku keempat tahun 2023 melalui 9 pengedar kami yang sedia ada.

“Kami juga gembira mengumumkan program manfaat #1 Early Bird yang memberi ganjaran kepada 501 pelanggan pertama yang menempah, termasuk kredit pengecasan bernilai RM1,001 melalui aplikasi Hello smart.”

Pelanggan boleh menempah smart #1 mereka melalui aplikasi Hello smart App dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan. 501 pelanggan pertama akan menerima manfaat #1 Early-Bird berupa kredit pengecasan RM1,001 selepas penghantaran kenderaan.

Kredit ini memudahkan pengalaman pengecasan melalui aplikasi yang mengintegrasikan lebih daripada 70% stesen pengecasan awam yang ada.

smart #1 di Malaysia terdiri daripada model Pro, Premium, dan BRABUS. Varian Pro menawarkan reka bentuk yang bergaya dan jarak perjalanan sejauh 315km, sementara varian Premium mempunyai ciri tambahan dan jarak perjalanan sejauh 440km. Varian BRABUS menampilkan prestasi tinggi dengan masa pecutan 0-100km/j dalam 3.9 saat dan jarak perjalanan sejauh 400km.

smart #1 Pro mempunyai pilihan warna seperti Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green. Varian Premium menawarkan tambahan warna seperti Atom Grey – Matte dan Lumen Yellow, sementara BRABUS menawarkan variasi warna yang lebih luas.

Harga smart #1 Pro, Premium, dan BRABUS bermula dari RM200,000 hingga RM250,000 (termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan). Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi Hello smart atau melalui pengedar rasmi smart.

Pelanggan yang berminat boleh menghubungi pengedar rasmi smart atau memuat turun aplikasi Hello smart App dari Apple App Store, Google Play Store, atau Huawei App Gallery untuk tempahan dan maklumat lanjut tentang smart #1. Untuk maklumat tambahan, sila lawati https://my.smart.com/#/.

Leave a comment