Kos memasang Supercharger Tesla hingga 70% lebih rendah dari pesaing – dijangka dominasi pasaran pengecaj

Tesla kini mendahului pesaing dalam memenangi tawaran projek kerajaan di Amerika Syarikat bagi membina rangkaian pengecasan awam di seluruh negara, dengan mematuhi semua keperluan pembiayaan infrastruktur pengecasan EV awam.

Buat masa kini Syarikat tersebut telah memenangi 18% daripada bidaan yang telah dikeluarkan, dengan menawarkan harga purata sekitar US$392,000 bagi setiap stesen, berbanding US$795,000 oleh pesaingnya, menurut data dari firma penyelidikan EVAdoption.

Tesla menghasilkan sendiri Supercharger mereka dan mempunyai pengalaman sepuluh tahun dalam memasangnya, membolehkan mereka menawarkan harga yang lebih rendah sehingga 70% berbanding pesaing lain.

Sebagai contoh ekstrem, Tesla memenangi satu tawaran di Maine dengan menawarkan Supercharger mereka pada harga $17,000 setiap unit, sementara pesaingnya menetapkan harga sekitar $130,000 setiap unit.

Tesla dijangka memainkan peranan besar dalam projek kerajaan bernilai $7.5 bilion untuk pembinaan infrastruktur pengecasan EV awam.

Pentadbiran Presiden Biden mahu cepat meningkatkan jumlah stesen pengecasan EV ke setengah juta menjelang tahun 2030, sama ada di bandar, di lebuh raya utama, atau di kawasan luar bandar.

Pada awal tahun ini, semasa pameran kereta Detroit, Biden menyatakan bahawa “The Great American Road Trip akan dijalankan dengan elektrik,” sambil mengumumkan beberapa inisiatif kerajaan untuk melancarkan peralihan ke EV bagi pengeluar bateri dan automotif, atau bagi mereka yang mengambil bahagian dalam pembinaan rangkaian pengecasan EV kebangsaan.

Kedai runcit atau hentian trak milik rangkaian seperti Sheetz, Love’s Travel Stops, atau TravelCenters of America mewakili majoriti besar tapak yang dipilih untuk pengecasan EV yang dibiayai.

Tesla mempunyai lebih banyak pengalaman dalam memproses permit pemasangan, pembayaran utiliti, atau penyelenggaraan daripada mana-mana syarikat lain, oleh itu menjalankan rangkaian pengecasan EV terbaik dengan masa operasi tertinggi.

Tesla juga boleh membawa sistem pengecaj yang sudah dipasang di kilang, membolehkan mereka membuka lokasi baru dan memperluaskan rangkaian pengecasan EV mereka dengan lebih cepat daripada mana-mana syarikat lain.

Seorang analis dari Wedbush baru-baru ini mengira bahawa pengecas Tesla boleh menjana sekurang-kurangnya $10 bilion setiap tahun menjelang tamatnya subsidi kerajaan. Menurut Morgan Stanley, walaupun dalam senario penggunaan EV yang berhati-hati, rangkaian Supercharger mungkin bernilai $42 bilion bagi Tesla, atau sehingga $100 bilion jika kenderaan elektrik mencapai ambang penggunaan 80%.

Leave a comment