Cepat betul program CKD Chery bermula; Tahniah orang Kulim

Hanya beberapa bulan selepas pelancaran model Omoda 5 dan Tiggo, jenama China, Chery, telah melangkah lebih jauh dengan menerima model pertama hasil pemasangan tempatan mereka di kilang CKD Inokom, Kulim, Kedah.

Ini adalah satu detik bersejarah kerana ia menjadi kali pertama jenama China secara serius terlibat dalam program CKD di Malaysia. Sebelum ini, berita mengenai pemasangan tempatan lazimnya melibatkan jenama dari Jepun, Korea, atau Eropah.

Serah terima rasmi kenderaan tersebut berlangsung dengan kehadiran Pengarah Urusan Inokom Corporation, Sui Keng Huat, serta Pengarah Operasi Kilang Chery Malaysia, Xu Jing Zhong. Turut menyaksikan detik bersejarah ini adalah beberapa tetamu kehormat.

Chery Malaysia telah menetapkan hasrat untuk melangkah lebih jauh. Mereka berazam untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran CKD, melabur dalam teknologi bertaraf tinggi, dan menjalin lebih banyak kerjasama dengan pembekal tempatan untuk menyokong ekosistem automotif Malaysia.

Usaha ini tidak hanya memperkukuhkan kedudukan Chery sebagai pemimpin dalam industri automotif, tetapi juga memberi sumbangan yang penting kepada pembangunan ekonomi kawasan.

Prestasi Terus Menjadi Tumpuan Global

Pada masa yang sama, Chery terus mencipta rekod jualan di peringkat global, dengan jualan separuh tahun mencecah angka 740,000 unit.

Berdasarkan data Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM), eksport kenderaan China melepasi 1.07 juta unit dalam suku pertama tahun 2023. Ini menjadi kali pertama China mengatasi Jepun untuk menjadi eksporteur kenderaan terbesar dunia.

Prestasi Chery semakin mempesonakan dengan jualan kumulatif lebih daripada 741,400 unit kenderaan, meningkat sebanyak 56% berbanding tahun sebelumnya. Ini adalah kali pertama mereka mencatatkan lebih daripada 100,000 unit jualan setiap bulan selama 13 bulan berturut-turut, menduduki kedudukan kedua dalam pertumbuhan industri.

Jualan jenama Chery pada separuh pertama tahun ini mencapai 539,400 unit, menunjukkan peningkatan sebanyak 50.9% berbanding tahun lepas.

Chery semakin menumpukan usaha kepada pembangunan teknologi. Jika usaha ini diteruskan dan sumber kewangan yang mencukupi disalurkan ke dalam kajian dan pembangunan, jentera automotif China berpotensi menjadi pesaing utama dalam pasaran, menyaingi jenama yang telah lama berada dalam industri ini.

Leave a comment