Lanskap EV semakin bertenaga dengan usahasama dua jenama penting membina infra pengecaj dan forecourt elektrik pertama

Group Malaysia dan Gentari telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam bidang mobiliti hijau dan tenaga boleh baharu. Kolaborasi ini akan membawa kepada peningkatan perkhidmatan, solusi, dan infrastruktur dalam sektor mobiliti hijau serta tenaga bersepadu.
Kedua-dua pihak ini, yang terdiri daripada BMW Group Malaysia dan Gentari, kini bekerjasama untuk meneroka pelaksanaan perkhidmatan dan solusi dalam bidang mobiliti hijau. Kolaborasi ini merangkumi pelbagai aspek, termasuk pemasangan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di pelbagai fasiliti dan kemudahan pengecasan mudah alih.
Gentari, menerusi anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd, telah mengambil langkah proaktif untuk memperluaskan rangkaian mobiliti hijaunya. Melalui usaha ini, mereka telah berjaya mengerahkan lebih daripada 160 titik pengecasan di Malaysia dan lebih daripada 170 titik pengecasan di India. Matlamat Gentari adalah untuk menguasai lebih daripada 10% syer pasaran titik pengesan dan penawaran ‘Kenderaan sebagai Servis’ (VaaS) menjelang tahun 2030.
Melalui kerjasama ini, BMW Group Malaysia dan Gentari memberikan komitmen untuk membentuk ekosistem mobiliti yang lebih hijau dan lestari di Malaysia. Ini juga akan menyumbang kepada perkembangan teknologi tenaga boleh baharu dalam industri automotif negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Shah Yang Razalli, berkata, “Kerjasama dengan BMW merupakan satu langkah penting dalam usaha kami untuk menyumbang kepada perkembangan mobiliti hijau di Malaysia. Ini juga akan membantu mewujudkan rantaian nilai tenaga hijau yang lebih komprehensif dan mampan.”
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser, turut berkongsi pandangan yang sama. Beliau menyatakan, “Kami amat berbesar hati untuk berkolaborasi dengan Gentari dalam usaha membangunkan solusi dan infrastruktur mobiliti hijau dan tenaga boleh baharu. Ini adalah langkah ke hadapan dalam mewujudkan industri automotif yang lebih cekap dan berkelanjutan.”
Melalui inisiatif ini, BMW Group Malaysia dan Gentari memberi komitmen kepada pembangunan mobiliti hijau yang lebih mapan dan menyediakan alternatif yang lebih lestari dalam dunia kenderaan bermotor di Malaysia.
