
SUBANG JAYA, 10 April 2026 – PROTON hari ini mengumumkan ketibaan PROTON X70 Sport Edition, sebuah interpretasi baharu yang lebih berani buat model yang telah mencatatkan sejarah besar dalam transformasi syarikat.
Model edisi khas ini bukan sahaja memperkasakan kedudukan PROTON dalam segmen SUV C yang kompetitif, malah ia turut meraikan legasi X70 sebagai perintis teknologi dan kualiti premium sejak mula diperkenalkan lapan tahun lalu.
Sebagai model pertama hasil kerjasama strategik antara PROTON dan Geely pada 2018, X70 telah memainkan peranan kritikal dalam membentuk semula landskap automotif Malaysia.
Ia berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap jenama nasional dengan memperkenalkan tahap kecanggihan, ketersambungan, dan sistem keselamatan termaju pada harga yang mampu dimiliki.
Kini, kesinambungan kecemerlangan itu diterjemahkan melalui Sport Edition yang memberikan dimensi lebih dinamik kepada identiti SUV mercu berkenaan.

Penampilan luaran PROTON X70 Sport Edition ini direka khusus untuk menyerlahkan kehadiran yang lebih tegas di atas jalan raya. Hadir secara eksklusif dalam warna Quartz Black, varian ini dihadkan pengeluarannya kepada 600 unit sahaja berasaskan spesifikasi Premium.
Identiti visualnya dipertingkatkan dengan pemasangan kit badan khas yang merangkumi skirt depan, sisi, dan belakang, sekali gus memberikan imej yang lebih rendah dan atletik. Gaya tersebut disempurnakan lagi dengan rim aloi 19 inci berwarna hitam dan lencana eksklusif Sport Edition yang membezakannya daripada varian standard yang lain.
Keseimbangan antara estetika dan keselesaan diteruskan ke ruang kabin, di mana sentuhan bespoke memberikan suasana yang lebih sporty. Para pemandu dan penumpang akan disambut dengan sulaman logo Sport Edition pada kerusi hadapan, manakala jahitan benang merah yang kemas pada tempat duduk, stereng, dan perehat lengan menambah elemen kemewahan di ruang dalaman.

Selain itu, aspek praktikaliti turut diberi perhatian melalui penyediaan boot tray bagi memudahkan urusan penyimpanan barangan di ruang kargo.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Dato’ Ir Abdul Rashid Musa berkata, X70 kekal sebagai salah satu model paling signifikan dalam sejarah syarikat kerana ia merupakan pemangkin kepada era kecemerlangan produk dan kepimpinan teknologi PROTON.
Beliau menegaskan bahawa pengenalan Sport Edition ini adalah langkah membina legasi kukuh tersebut dengan menawarkan personaliti segar yang memenuhi citarasa pelanggan yang mahukan gaya dan perbezaan yang lebih ketara pada SUV mereka.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat, PROTON X70 Sport Edition akan dipamerkan di bilik pameran terpilih bermula hujung minggu ini. Pelanggan juga sudah boleh membuat tempahan awal sebelum pengumuman rasmi harga yang dijadualkan berlangsung pada 16 April 2026.
Model ini dilihat sebagai pilihan tepat buat pengguna yang mencari keseimbangan antara ruang yang luas, ciri-ciri canggih, dan imej yang lebih ekspresif.



