Mitsubishi Motors Malaysia Lancar SUV Xforce; Harga Bermula RM109,980 Dengan 2,600 Tempahan Awal


KUALA LUMPUR – Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) secara rasmi melancarkan model SUV kompak terbaharunya, Mitsubishi Xforce, yang direka khusus untuk memenuhi gaya hidup moden pemandu bandar di Malaysia.

Sejak tempahan dibuka pada Februari lalu, model ini telah menerima sambutan luar biasa dengan 2,600 unit tempahan direkodkan setakat ini, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pengguna terhadap SUV yang menggabungkan reka bentuk versatil dengan keselesaan harian.

Xforce ditawarkan dalam dua varian iaitu Urban pada harga RM109,980 dan varian tertinggi Ultimate pada harga RM119,980, di mana penghantaran 800 unit pertama kepada pelanggan akan bermula hari ini.
Sebagai menghargai sokongan pelanggan awal, MMM mengumumkan bahawa kesemua 2,600 pelanggan tersebut layak menerima promosi “Early Bird” yang merangkumi rebat tunai RM5,000 dan tiga kali servis percuma yang mengurangkan kos penyelenggaraan selama lima tahun kepada hanya RM3,900.

Menariknya, MMM turut memutuskan untuk melanjutkan promosi eksklusif ini kepada pelanggan baharu yang membuat tempahan sehingga Ahad ini, 12 April 2026. Selain itu, pemilik sedia ada Mitsubishi atau ahli keluarga terdekat mereka yang membeli Xforce akan menikmati rebat tunai tambahan sebanyak RM1,000 di bawah program kesetiaan pelanggan, manakala program M Switch ditawarkan buat pelanggan di Lembah Klang bagi memudahkan urusan tukar beli kenderaan dengan jaminan harga tetap tanpa kos tersembunyi.
Dari segi prestasi,

Mitsubishi Xforce dikuasakan oleh enjin 1.5L MIVEC yang dipadankan dengan transmisi CVT untuk pemanduan yang responsif dan cekap bahan api. SUV ini juga menetapkan standard baharu dalam kelasnya dengan menawarkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel, dan Mud, yang ditala mengikut keadaan jalan raya sebenar di rantau ini.

Tahap pengendalian kenderaan diperkukuh lagi dengan ciri Active Yaw Control (AYC) serta jarak kelegaan tanah setinggi 222mm, yang membolehkan pemandu meredah pelbagai bentuk muka bumi dengan penuh keyakinan.
Kabin Xforce direka untuk memberikan keselesaan maksimum melalui ruang dalaman yang luas, termasuk tempat duduk belakang yang boleh dilaraskan dalam lapan posisi.

Pengalaman pemanduan dipertingkatkan lagi dengan sistem audio premium Dynamic Sound Yamaha dengan lapan pembesar suara, skrin paparan audio 12.3-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta sistem penyaman udara dwi-zon yang dilengkapi teknologi penapisan udara nanoe™ X.

Ciri praktikal lain yang turut disertakan termasuklah pintu belakang kuasa dengan penderia gerakan kaki, kotak penyejuk di konsol tengah, serta 23 ruang penyimpanan barang yang memudahkan urusan harian pemiliknya.
Aspek keselamatan tidak diabaikan apabila Xforce dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) di bawah Mitsubishi Motors Safety Sensing. Ciri-ciri utama termasuklah Amaran Titik Buta,

Mitigasi Pelanggaran Hadapan, Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA). Tersedia dalam empat pilihan warna menarik iaitu Quartz White Pearl, Diamond Black Mica, Graphite Gray, dan Red Metallic, Xforce turut menawarkan pelbagai pakej aksesori pilihan seperti Excitement Package bagi mereka yang mahukan penampilan lebih agresif.

Dengan kombinasi harga kompetitif dan ciri premium, Mitsubishi Xforce dijangka akan terus memacu pertumbuhan jualan jenama tersebut dalam segmen SUV kompak di Malaysia.

Leave a comment