Stellantis Malaysia Lancar Leapmotor C10 PLUS dan Edisi Terhad Night Edition

KUALA LUMPUR – Stellantis Malaysia secara rasminya telah memperkenalkan model SUV elektrik segmen-D yang dipertingkatkan, Leapmotor C10 PLUS, bersama varian eksklusif C10 PLUS Night Edition untuk pasaran tempatan. Model baharu ini membawakan peningkatan signifikan dari segi rangkaian kuasa dan kecekapan pengecasan, dengan harga jualan bermula daripada RM148,000. Tersedia di bilik pameran seluruh negara bermula Februari 2026, model C10 PLUS ini memfokuskan kepada praktikaliti dan keselesaan penumpang yang lebih tinggi berbanding model tahun sebelumnya.

Antara perubahan teknikal utama pada Leapmotor C10 PLUS adalah penggunaan platform 800V yang dipadankan dengan pek bateri lebih besar berkapasiti 81.9kWh. Naik taraf ini membolehkan kenderaan mencapai jarak gerak WLTP sehingga 510 KM, manakala prestasi motor elektrik kini melonjak kepada 299hp dan tork 360Nm. Peningkatan kuasa ini membolehkan pecutan 0-100km/j dilakukan dalam tempoh 6.2 saat sahaja. Selain itu, sistem pengecasan pantas DC kini menyokong sehingga 180kW, sekali gus memendekkan tempoh pengecasan 30 peratus ke 80 peratus kepada hanya 22 minit.

Bagi pengguna yang mahukan kelainan, Stellantis turut menawarkan C10 PLUS Night Edition yang dihadkan kepada 50 unit sahaja dengan tambahan harga RM8,000. Varian ini tampil dengan kemasan luaran dwi-warna berbumbung hitam, kit badan aerodinamik baharu, serta rim “Trident” 20-inci berwarna hitam kusam untuk imej yang lebih agresif. Di bahagian dalam, kedua-dua varian mengekalkan penggunaan tekstil silikon mesra bayi yang diperakui OEKO-TEX® Standard 100, dengan pilihan warna ruang kabin hitam atau Camel Brown mengikut warna luaran yang dipilih.

Sempena pelancaran ini, Stellantis Malaysia menawarkan rebat sebanyak RM9,000 untuk kedua-dua model, manakala pelanggan awal layak menerima subsidi insurans tambahan sebanyak RM4,000, menjadikan jumlah penjimatan keseluruhan sehingga RM13,000 bagi tempoh sehingga 31 Mac 2026. Orang ramai boleh melihat model ini secara dekat di Sunway Pyramid bermula 27 Februari hingga 1 Mac 2026. Setiap pembelian turut disertakan dengan jaminan kenderaan selama enam tahun atau 150,000km, serta jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000km bagi memberikan ketenangan minda kepada pemilik.

Leave a comment