KUALA LUMPUR – Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) menamatkan tahun kewangan 2025 dengan prestasi memberangsangkan menerusi catatan keuntungan bersih sebanyak RM246 juta. Pencapaian ini menunjukkan lonjakan signifikan berbanding hanya RM18 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya, disokong terutamanya oleh hasil pengeluaran yang lebih baik di Penapis Port Dickson melalui pengoptimuman proses dan penggunaan loji yang lebih tinggi. Strategi ini membolehkan syarikat memanfaatkan kos pengeluaran dan bekalan yang lebih rendah sepanjang tahun tersebut.
Walaupun jumlah volum jualan mencecah 36.2 juta tong, iaitu peningkatan sedikit berbanding tahun lalu, hasil pendapatan syarikat menyusut 15 peratus kepada RM13.4 bilion akibat kejatuhan harga minyak global. Penanda aras Dated Brent dilaporkan turun sebanyak 15 peratus kepada purata AS$69 setong berikutan lebihan bekalan dan permintaan yang lemah di tengah-tengah ketegangan geopolitik. Bagaimanapun, keuntungan kasar syarikat meningkat lebih dua kali ganda kepada RM571 juta, manakala pendapatan operasi melonjak kepada RM350 juta berbanding RM60 juta pada tahun 2024.

Bagi suku keempat tahun 2025, Petron berjaya merekodkan keuntungan bersih RM44 juta, satu pemulihan yang ketara berbanding kerugian bersih RM70 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Walaupun harga minyak mentah terus merosot pada suku terakhir akibat peningkatan bekalan global dan kesan tarif Amerika Syarikat, Petron berjaya menjual 8.6 milton tong, iaitu 10 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu. Faktor ini membolehkan syarikat mengekalkan hasil pendapatan pada tahap RM3.1 bilion bagi suku berkenaan.
Dalam perkembangan lain, syarikat kini sedang dalam proses menangani kesan kerosakan jeti produk di Penapis Port Dickson yang runtuh akibat Ribut Tropika Senyar pada akhir November lalu. Petron telah mengisytiharkan force majeure dan mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan bagi memastikan bekalan produk terkawal seperti petrol, diesel, dan LPG Gasul kepada pelanggan tidak terjejas. Pihak pengurusan mengesahkan bahawa insiden tersebut memberikan impak kewangan yang minimal bagi tahun 2025 kerana ia berlaku di penghujung tahun, dan kini sedang dalam fasa pembersihan dasar laut serta penilaian bidaan untuk membina semula jeti tersebut.
Pengerusi PMRMB, Ramon S. Ang, menyatakan bahawa prestasi cemerlang tahun 2025 adalah hasil daripada kecekapan operasi dan pengurusan risiko yang berhemat dalam pasaran minyak yang tidak menentu. Beliau menegaskan syarikat akan terus kekal tangkas dalam mendepani perubahan persekitaran perniagaan dan landskap kawal selia, termasuk program BUDI95. Fokus utama Petron kini adalah untuk menggantikan jeti produk yang rosak bagi memastikan operasi penuh penapis minyak dapat disambung semula dalam masa terdekat.
