Petron Perkukuh Komitmen Keselamatan Komuniti di Acara Go-To-Safety Point Johor 2025

Petron Malaysia memperkukuhkan komitmennya terhadap keselamatan komuniti dalam satu acara Go-To-Safety-Point (GTSP) di Petron Kampung Melayu, Johor Bahru, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Program GTSP bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan kerjasama dengan pihak polis di stesen-stesen Petron dan mengeratkan hubungan dengan balai polis berdekatan bagi memastikan masa tindak balas yang lebih pantas terhadap panggilan kecemasan dari stesen Petron.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Johor, YDH DCP Tuan Abdul Latiff bin Mehat, itu turut memaparkan demonstrasi simulasi kecemasan melibatkan kes ragut dan kemalangan motosikal. Simulasi ini menunjukkan bagaimana stesen GTSP menyediakan tempat perlindungan yang selamat untuk mangsa insiden-insiden lazim seperti ini. Bagi Petron, Johor merupakan antara negeri yang terus mencatatkan jumlah kes GTSP tertinggi setiap tahun, menekankan kebergantungan negeri ini terhadap program tersebut.

“Saya memuji Petron kerana proaktif dalam menerajui GTSP di seluruh negara dan gembira kerana Johor dipilih untuk menjadi tuan rumah acara peringkat negeri 2025. Simulasi ini adalah latihan berharga untuk meningkatkan pemahaman orang ramai tentang GTSP dan meyakinkan masyarakat bahawa stesen Petron sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan semasa kecemasan,” kata Tuan Abdul Latiff.

Acara ini juga berfungsi sebagai latihan masa nyata untuk kakitangan Petron, memperkukuh keupayaan mereka untuk bertindak balas dengan cepat dan berkesan semasa kecemasan. Ia turut mengetengahkan peranan ‘sudut de-stres’, iaitu ruang khas yang dilengkapi dengan barangan keperluan seperti kerusi rehat, selimut, peti pertolongan cemas, dan senarai nombor telefon kecemasan, yang direka untuk membantu individu dalam kesusahan sehingga bantuan lanjut tiba.

“Melalui GTSP, kami bukan sahaja meningkatkan keselamatan, dan kesejahteraan masyarakat, tetapi juga mengukuhkan reputasi Petron sebagai tempat yang dipercayai di mana sesiapa sahaja boleh mendapatkan bantuan awal dalam kecemasan. Kami telah melangkah lebih jauh ke arah menjadikan perjalanan lebih selamat dengan pemasangan unit Automated External Defibrillator (AED) di tapak-tapak lebuh raya Petron terpilih untuk membantu dengan kecemasan jenis perubatan sebagai sebahagian daripada inisiatif GTSP, yang akan diperluaskan ke lebih banyak tapak lebuh raya Petron menjelang akhir tahun ini,” kata Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron.

Petron Malaysia merupakan syarikat minyak pertama yang mempelopori program GTSP pada tahun 2013, menandakan lebih sedekad perkongsian dengan PDRM di bawah kempen kerajaan “Bersatu Menentang Jenayah”. Sejak itu, hampir semua stesen minyak Petron di negara ini dilengkapi dengan ‘sudut de-stres’ GTSP dan ditandakan dengan pelekat GTSP untuk pengenalan mudah.

Leave a comment