Motul Malaysia Lancar Eco-Tech 5W30 khas untuk enjin Turbo

Motul Malaysia melancarkan minyak enjin sintetik baharu Motul Eco-Tech 5W30 yang direka khusus untuk enjin turbocaj suntikan langsung petrol (Turbocharged Gasoline Direct Injection/TGDI).

Produk ini dibangunkan untuk menangani keperluan perlindungan enjin turbocaj yang semakin popular di Malaysia, termasuk model seperti Proton X50, Proton X70, Chery Omoda 5, Chery Tiggo 7 Pro, Chery Tiggo 8 Pro, Jaecoo J7, Haval H6 dan GAC GS3.

Pengurus Besar Motul Malaysia, Ravi Shankar berkata minyak enjin ini membawa perlindungan lanjutan yang diperlukan oleh enjin turbocaj moden.

“Dengan pelancaran Motul Eco-Tech 5W30, kami membawa perlindungan lanjutan yang benar-benar diperlukan oleh enjin turbocaj masa kini. Memandangkan kenderaan TGDI semakin popular di seluruh Malaysia, pemandu memerlukan minyak enjin yang bukan sahaja melindungi daripada LPSI dan haba melampau turbo, tetapi juga memberikan kebolehpercayaan konsisten dan kecekapan bahan api,” katanya.

Minyak enjin ini menawarkan perlindungan penuh untuk enjin TGDI, daripada kebuk pembakaran hingga ke sistem turbo, dan dibina untuk menahan haba melampau dan keadaan tekanan tinggi. Ia juga selamat daripada Pra-Pencucuhan Kelajuan Rendah (Low-Speed Pre-Ignition/LSPI), fenomena yang boleh merosakkan enjin TGDI moden semasa pemanduan bandar dengan sistem start-stop.

Produk ini turut mematuhi piawaian API SP dan ILSAC GF-6A, serta membantu meningkatkan penjimatan bahan api dan mengurangkan pelepasan CO₂.

Motul Eco-Tech 5W30 kini tersedia di semua peruncit, bengkel dan platform dalam talian yang dibenarkan Motul di seluruh Malaysia. Produk ini dibungkus dalam botol 5 liter, sesuai untuk enjin turbocaj tanpa pembaziran atau kos tambahan.

Leave a comment