
Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, hari ini secara rasmi melancarkan Jelajah MISI 5, satu jelajah kebangsaan untuk pratonton kereta kedua dalam barisan Proton e.MAS. Proton e.MAS 5, kenderaan elektrik (EV) peringkat permulaan yang paling dinanti-nantikan di Malaysia, akan menjelajah ke lima wilayah utama di seluruh negara bermula Ogos hingga Oktober 2025.
Melalui siri pratonton eksklusif di lokasi pelancongan terpilih dan pengedar Proton e.MAS di 13 negeri, Jelajah MISI 5 bertujuan untuk membawa pengalaman EV secara terus kepada rakyat Malaysia. Ini membolehkan orang ramai berinteraksi dengan Proton e.MAS 5 secara langsung, sebelum pelancarannya yang dijadualkan pada akhir tahun ini.
“Proton e.MAS 7 sudah menjadi EV terlaris di Malaysia setakat ini, dan kami percaya cara terbaik untuk membina kepercayaan dan momentum dengan Proton e.MAS 5 yang bakal dilancarkan adalah melalui pengalaman praktikal. Dengan Jelajah MISI 5, rakyat Malaysia akan berpeluang melihat Proton e.MAS 5 dari dekat, mengetahui lebih lanjut tentang kereta ini daripada pakar produk, serta bertemu dengan pempengaruh popular,” kata Encik Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
Beliau menambah, “Proton e.MAS 5 direka untuk memenuhi keperluan golongan muda bandar, keluarga, dan pemandu EV kali pertama. Jelajah MISI 5 membolehkan kami berhubung dengan mereka, wilayah demi wilayah.”

Pengalaman Jalan Raya Kebangsaan Mencetuskan Keseronokan Pra-Pelancaran
Menyasarkan lokasi pelancongan popular dengan jumlah pengunjung yang tinggi serta perhentian eksklusif di pengedar Proton e.MAS, Jelajah MISI 5 menawarkan akses awal kepada orang ramai untuk melihat Proton e.MAS 5. Ini membolehkan orang ramai berinteraksi dengan kenderaan tersebut dalam suasana harian yang biasa dan menarik.
Meliputi wilayah Tengah, Utara, Selatan, Pantai Timur, dan Malaysia Timur, pengunjung boleh menerokai Proton e.MAS 5 melalui lawatan berpandu, paparan statik, dan pameran interaktif. Semua ini direka untuk menyerlahkan reka bentuknya yang bergaya, ruang simpanan yang luas, dan teknologi canggih dalam persekitaran kehidupan sebenar.
Lebih daripada sekadar pratonton, Jelajah MISI 5 dirancang untuk menggambarkan bagaimana Proton e.MAS 5 sesuai dengan kehidupan harian rakyat Malaysia, daripada golongan muda yang sibuk dengan kerja, kelas, dan perancangan sosial, hinggalah kepada keluarga yang menguruskan rutin sekolah, tugasan harian, dan percutian hujung minggu.
Dengan ciri-ciri pintar seperti pra-penyamanan dan perancangan pengecasan masa nyata, e.MAS 5 dibina untuk mempermudahkan rutin harian. Kabinnya ekspresif namun praktikal, dengan ruang boleh ubah suai untuk beg gim, barangan runcit, atau peralatan keluarga, serta pengendalian yang yakin disokong oleh ciri keselamatan canggih. Sama ada mengecas semula hingga 80% dalam masa yang lebih singkat daripada waktu rehat makan tengah hari, memuatkan kereta sorong bayi dan barangan beli-belah dengan mudah, atau meluncur di trafik bandar tanpa tekanan, Proton e.MAS 5 menyokong rutin sebenar, bukan sekadar spesifikasi.
Jelajah Dibina Berdasarkan Pengalaman Harian Rakyat

Menekankan pengalaman sebenar, Jelajah MISI 5 akan merentasi lima wilayah, setiap satu dihidupkan oleh persona gaya hidup yang berbeza dan pempengaruh popular yang menyahut cabaran diilhamkan oleh minat tempatan dari fesyen dan budaya hingga makanan, seni, dan pengembaraan.
Di wilayah Tengah, pereka fesyen dan personaliti TV, Karl Shafek (Fashionista), akan mengubah Proton e.MAS 5 menjadi studio solekan bergerak semasa KL Fashion Week. Di Selatan, Johan Eskandar (Culture Lover) akan meneroka tapak warisan dan perhentian mesra haiwan peliharaan dengan daya tarikan kucingnya yang tersendiri. Di Utara, Soyabelacan (Foodie) akan memasak dan menyajikan hidangan lazat terus dari frunk (bonet depan) Proton e.MAS 5 yang luas. Di Pantai Timur, pelukis mural Zameer Pentbrush (Creative Nomad) akan menjadikan Proton e.MAS 5 sebagai kanvas bergerak untuk menghasilkan karya seni on-the-go. Dan di Malaysia Timur, pencipta kandungan bertenaga tinggi Ain Ramli (Thrillseeker) akan menolak had dengan strim langsung berhantu yang memecah rekod, dikuasakan oleh teknologi e.MAS 5.
Jelajah MISI 5 akan berlangsung dari Ogos hingga Oktober 2025, dengan perhentian yang dirancang di bandar-bandar utama di seluruh wilayah pada tarikh berikut:
| Wilayah | Negeri | Tarikh |
| Tengah | Selangor, Kuala Lumpur | 8–10 Ogos & 15–17 Ogos |
| Utara | Pulau Pinang, Perak, Kedah | 21–25 Ogos |
| Pantai Timur | Pahang, Terengganu, Kelantan | 4–8 September |
| Selatan | Johor | 13–15 September |
| Negeri Sembilan, Melaka | 20–21 September | |
| Malaysia Timur | Sarawak | 25–28 September |
| Sabah | 3–5 Oktober |






