Anak Syarikat tenaga baharu Proton, PRO-NET hari ini menandatangani memorandum persefahaman dengan AMTEL Cellular Sdn Bhd bagi menangani cabaran pelupusan bateri kenderaan elektrik yang dijangka mencapai 870,000 unit menjelang 2050 di Malaysia.

Kerjasama strategik ini akan membneri tumpuan kepada pengangkutan, pembongkaran dan pelupusan bateri EV yang selamat sambil memaksimumkan kitaran hayat bateri untuk aplikasi sekunder seperti pembuatan bateri baharu dan penyelesaian storan tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata syarikat mengambil langkah proaktif dalam memastikan proses peralihan kepada mobiliti hijau kekal mesra alam walaupun belum ada mandat rasmi kerajaan mengenai perkara ini.
“Kami komited sepenuhnya terhadap kelestarian dan ketika membantu negara beralih kepada mobiliti hijau, kami juga mahu memastikan proses tersebut kekal hijau. Kami mengambil langkah awal untuk melindungi pelupusan bateri EV yang betul dengan memastikan proses kitar semula kekal berdaya maju dari segi ekonomi sambil mesra alam,” katanya.
Projek ini akan dilaksanakan mengikut peraturan kerajaan di bawah Sistem Maklumat Sisa Terjadual Elektronik (eSWIS) Jabatan Alam Sekitar. AMTEL yang merupakan subsidiari AMTEL Holdings Berhad dikenali dengan pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan termasuk meneroka kegunaan baharu untuk sel bateri EV.

Ketua Pegawai Eksekutif AMTEL Cellular, Lim Hun Teik berkata perkongsian ini menunjukkan komitmen bersama dalam memajukan mobiliti elektrik sambil membina ekosistem penting di sekelilingnya termasuk sokongan selepas jualan berkualiti tinggi dan pengendalian akhir hayat yang bertanggungjawab.
Menurut unjuran Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), keperluan untuk rangka kerja yang betul bagi pengumpulan, pemprosesan dan pelupusan sisa bateri EV adalah kritikal untuk kelestarian jangka panjang kenderaan elektrik di tengah-tengah penggunaan yang pesat.
Kerjasama ini turut menyokong kejayaan model Proton e.MAS 7 yang menggunakan bateri LFP short-blade berteknologi tinggi dan telah menjadi EV terlaris di Malaysia untuk 2025 setakat ini. Model ini turut mencatatkan skor ASEAN NCAP tertinggi sebagai EV paling selamat di Malaysia.
Baru-baru ini, pek bateri AEGIS yang digunakan dalam Proton e.MAS 7 telah lulus ujian tekanan ultimat apabila dilanggar kereta kebal seberat 36 tan pada tekanan 1.8 kali ganda daripada standard keselamatan maksimum semasa tanpa sebarang insiden kebakaran, letupan atau thermal runaway.
Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memasuki era pemanduan elektrik, PRO-NET kini menawarkan insentif tukar ganti tambahan RM5,000 untuk sebarang kenderaan lama tanpa mengira jenama atau umur. Kedua-dua varian e.MAS 7 Prime dan Premium kini tersedia dalam stok sedia dengan harga bermula RM105,800 dan RM119,800 masing-masing.



