
PULAU PINANG – Boon Siew Honda mengeluarkan kenyataan menangkis dakwaan tidak tepat yang menyatakan enjin Honda digunakan pada motosikal jenama bukan Honda.
Syarikat itu menjelaskan dakwaan tersebut tidak benar dan menegaskan enjin yang digunakan merentasi barisan model Honda adalah reka bentuk proprietari yang direka dan dikeluarkan secara eksklusif oleh Honda.
Boon Siew Honda menyatakan teknologi canggih mereka tidak dikongsi, dilesenkan atau dibekalkan kepada mana-mana jenama motosikal lain yang tersedia di Malaysia.
Syarikat itu menekankan komitmen mereka untuk menyampaikan standard kualiti yang tinggi dan kemajuan teknologi. Setiap komponen termasuk enjin adalah hasil penyelidikan dan kejuruteraan khusus untuk meningkatkan pengalaman menunggang pelanggan.
Honda menggalakkan orang ramai mengesahkan sebarang dakwaan mengenai produk Honda melalui saluran rasmi atau dengan berunding dengan pengedar Honda yang dibenarkan di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 1-800-88-3993 untuk bercakap dengan wakil perhubungan pelanggan atau menghantar e-mel ke enquiry@bswhonda.com.my.
Boon Siew Honda Sdn. Bhd. adalah syarikat usaha sama antara Honda Motor Co., Ltd. dan Oriental Holdings Bhd. yang memulakan operasi pada September 2008 dengan matlamat menyatukan pengeluaran dan jualan motosikal di Malaysia.

