Proton e.MAS 7 Mendahului Jualan EV Malaysia Empat Bulan Berturut-turut

Subang Jaya, 20 Mei 2025 – Proton e.MAS 7 telah mengukuhkan kedudukannya sebagai kenderaan elektrik (EV) terlaris di Malaysia untuk empat bulan berturut-turut, menandakan pencapaian penting bagi PRO-NET, anak syarikat milik penuh Proton. Sejak penghantaran bermula pada Januari 2025, sebanyak 2,716 unit SUV elektrik penuh ini telah terjual di pasaran tempatan dan eksport.

Angka jualan yang mengagumkan ini menunjukkan purata satu unit Proton e.MAS 7 terjual setiap jam. Pada April 2025 sahaja, sejumlah 863 unit telah didaftarkan, membolehkan Proton e.MAS 7 menguasai 26% pegangan pasaran EV di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Encik Zhang Qiang, menyatakan rasa terima kasih atas penerimaan yang memberangsangkan ini. “Kami amat berterima kasih kepada semua pelanggan kami atas keyakinan berterusan mereka terhadap kami. Penjualan satu unit setiap jam menunjukkan betapa bersedianya rakyat Malaysia untuk menerima masa depan EV dengan Proton e.MAS 7. Kepercayaan dan sokongan padu mereka telah memacu kejayaan ini,” katanya.

Kejayaan berterusan ini juga mencerminkan peningkatan keyakinan rakyat Malaysia terhadap EV sebagai mod pengangkutan utama. Proton e.MAS 7 menarik perhatian ramai dengan gabungan inovasi berteknologi tinggi, praktikaliti, dan harga yang mampu milik, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga, golongan profesional, serta mereka yang ingin beralih daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).


Membangun Ekosistem Pengecasan dan Servis

Selaras dengan peningkatan permintaan, PRO-NET terus komited untuk memperluas ekosistem EV. Peta Pengecasan Langsung Bersepadu mereka kini menyenaraikan lebih 2,500 titik pengecasan dengan lebih 90% liputan di seluruh negara, yang boleh diakses dengan mudah melalui sistem navigasi kereta dan aplikasi Proton e.MAS.

Bagi penduduk kediaman bertingkat tinggi, PRO-NET telah memasang lebih 1,000 titik pengecasan di 397 pangsapuri dan kondominium. Usaha aktif sedang dijalankan untuk mengenal pasti rakan kongsi Pengendali Titik Pengecasan (CPO) baharu bagi memperluas lagi liputan, memastikan pemilik e.MAS 7 sentiasa mempunyai akses kepada kemudahan pengecasan.

Dari segi perkhidmatan selepas jualan, pemilik Proton e.MAS 7 boleh mendapatkan penyelenggaraan berjadual di 24 Pusat 3S di seluruh negara. Tambahan pula, 10 pusat Body and Paint turut tersedia untuk bantuan. PRO-NET merancang untuk membuka lebih banyak pusat ini dalam masa terdekat bagi meningkatkan aksesibiliti perkhidmatan secara menyeluruh.

“Ini hanyalah permulaan,” tambah Zhang. “Sambil kami berkembang, kami juga giat meningkatkan perkhidmatan kami untuk memastikan setiap pemilik e.MAS 7 sedia ada dan masa depan menikmati pengalaman pemilikan yang lancar, menyeronokkan, dan lestari.”


Mobiliti Elektrik Mampu Milik

Setiap Proton e.MAS 7 yang terjual menjadi simbol komitmen pelanggan terhadap masa depan yang lebih lestari. Sokongan ini menggerakkan misi Proton untuk menjadikan mobiliti elektrik mudah diakses dan menyeronokkan untuk semua rakyat Malaysia.

Proton e.MAS 7 ditawarkan pada harga yang kompetitif, bermula dari RM105,800* untuk varian Prime dan RM119,800* untuk Premium, menawarkan nilai yang luar biasa dengan prestasi dan teknologi terkemuka dalam kelasnya.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, orang ramai boleh mengikuti Proton e.MAS di Facebook, Instagram, TikTok, dan Xiaohongshu.

*Harga termasuk insurans dan terpakai untuk 6,000 tempahan pertama sahaja.

Leave a comment