
Goodyear Malaysia, peneraju inovasi dalam teknologi tayar, sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap keselamatan masyarakat dengan menderma 60 unit tayar Goodyear Cargo Marathon 2 kepada St. John Ambulance Malaysia. Sumbangan bernilai lebih RM25,000 ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Goodyear untuk menyokong pasukan barisan hadapan yang bertungkus lumus memberikan perkhidmatan kecemasan.

Kerjasama erat antara Goodyear Malaysia dan St. John Ambulance sejak tahun 2006 telah memastikan kenderaan kecemasan dilengkapi dengan tayar berkualiti tinggi yang diperlukan untuk operasi yang lancar dan selamat. Tayar Goodyear Cargo Marathon 2 yang didermakan ini direka khas untuk memberikan cengkaman yang lebih baik, ketahanan yang tinggi, dan jarak brek yang lebih pendek, bahkan dalam keadaan jalan yang mencabar.

Ashwin Rajgopal, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia, berkata, “Kami berbangga dapat terus menyokong St. John Ambulance dalam misi mulia mereka. Sumbangan tayar ini adalah bukti komitmen kami untuk memberikan kembali kepada masyarakat dan memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.”
Dato’ Yeo Kim Thong, Timbalan Pengerusi St. John Ambulance Malaysia, mengucapkan terima kasih kepada Goodyear Malaysia atas sumbangan berharga ini. “Tayar Goodyear telah terbukti menjadi aset yang sangat bernilai bagi pasukan kami. Dengan tayar baru ini, kami dapat terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan pantas kepada masyarakat.”




