BYD dijangka perkenal Seal Dynamic Jumaat ini sebagai sedan elektrik paling murah?

Pasaran kenderaan elektrik di Malaysia semakin sengit dengan beberapa pelancaran baru yang menawarkan teknologi terkini pada harga yang kompetitif dan kini BYD dijangka akan menawarkan model popular Seal pada harga bawah RM160K.

Semasa pelancaran model tersebut pada awal tahun, memang kelihatan seperti mereka mahu menawarkan tiga varian, tetapi bila dilancarkan hanya dua sahaja yang masuk ke pasaran.

Katanya, fokus awal kepada varian Performance dan jarak jauh manakala model pemula disimpan untuk masa depan.

Masa tersebut sudahpun hampir tiba, dan varian Dynamic dijangka akan diperkenalkan pada hari Jumaat ini.

Menurut bisikan pasaran, model ini mungkin ditawarkan pada harga bawah RM160K, sekaligus menjadikannya sedan elektrik segmen C paling mampu milik.

Gambar dari Autostation

Salah satu perbezaan terbesar yang memisahkan Seal Dynamic daripada varian Premium dan Performance adalah output kuasanya.

Walaupun masih menggunakan sistem pacuan roda belakang (RWD), motor elektriknya mempunyai output yang lebih rendah iaitu 150 kW (201 hp) dengan tork 310 Nm, serupa dengan varian Extended Range bagi BYD Atto 3 dan Dolphin.

Sebagai perbandingan, Seal Premium dilengkapi dengan motor 230 kW (309 hp) yang menghasilkan 360 Nm tork, manakala Seal Performance dilengkapi dengan dua motor yang mempunyai output keseluruhan 390 kW (523 hp) dan tork maksimum 670 Nm.

Dengan output kuasa yang lebih rendah, cukai jalan untuk Seal Dynamic juga akan menjadi lebih murah. Berikut adalah harga cukai jalan untuk Seal Dynamic berbanding varian Premium dan Performance:

  • BYD Seal Dynamic RWD (150 kW) = RM160
  • BYD Seal Premium RWD (230 kW) = RM335
  • BYD Seal Performance AWD (390 kW) = RM965

Seal Dynamic akan dilengkapi dengan pek bateri 61.4 kWh Blade lithium iron phosphate (LFP), yang lebih kecil berbanding pek 82.5 kWh pada model Premium dan Performance.

Jarak WLTP untuk varian Dynamic adalah 460 km, lebih pendek berbanding 570 km untuk Premium dan 520 km untuk Performance.

Kelajuan pengecasan pantas DC adalah terhad kepada 110 kW untuk model Dynamic, manakala varian lain menyokong sehingga 150 kW.

Seal Dynamic juga akan dilengkapi dengan roda 18 inci, berbeza dengan roda 19 inci pada model Premium dan Performance.

Pelancaran Seal Dynamic ini dijangka akan menurunkan harga permulaan bagi rangkaian BYD Seal di Malaysia, menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelbagai pembeli dan berpotensi menarik lebih ramai pelanggan kepada jenama ini. Dengan harga yang lebih rendah, Seal Dynamic diharapkan dapat meningkatkan jualan BYD di Malaysia, sambil membina kejayaan varian Premium dan Performance yang sedia ada.

Leave a comment