
Nampaknya PRO-NET, sebuah anak syarikat kepada pengeluar kereta nasional Proton, telah diberi tanggungjawab penting untuk menguruskan eMas, model pertama mereka dalam portfolio kenderaan elektrik (EV) selepas pelancaran rasmi jenama eMas pada awal bulan ini.
PRO-NET diarahkan untuk menubuhkan jenama eMas dan meningkatkan kehadiran pasaran, termasuk menetapkan rangkaian pengedar, merekrut pasukan yang berkelayakan, dan membina kerjasama dengan pembekal pengecasan.
Anak syarikat ini telah dilihat berjaya menguruskan jenama kereta elektrik premium smart setelah model pertama smart #1 diterima baik oleh pembeli dan kini mereka bersiapsedia untuk pelancaran model seterusnya #3.
Pemasaran kereta elektrik dikatakan agak berbeza dari proses memperkenalkan kenderan ICE kepada pasaran kerana menggunakan platform digital dan kepakaran perisian secara lebih meluas untuk memenuhi keperluan pembeli awal EV.
Ketua Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong, mengesahkan keyakinannya terhadap kemampuan PRO-NET untuk menerajui Proton eMas dalam industri EV.
“Kecekapan yang PRO-NET kembangkan sepanjang dua tahun lalu menempatkan kami secara unik untuk mengangkat Proton eMas ke hadapan industri EV. Pelanggan masa depan kami akan mendapat manfaat daripada rangkaian perkhidmatan holistik yang tidak hanya memenuhi tetapi melampaui harapan mereka, seperti pengalaman premium yang diberikan kepada pemilik kenderaan smart,” ujarnya.
Pelancaran jenama eMas mengukuhkan kehadiran Proton dalam pasaran kenderaan elektrik, menandakan langkah serius mereka dalam memasuki pasaran EV dengan pelan untuk membina model-model masa depan menggunakan Global Modular Architecture (GMA).
Proton dijangka akan menggunakan Geely Galaxy E5 sebagai asas untuk model elektrik sepenuhnya pertama syarikat tersebut dengan perubahan dari segi kemasan dan kedudukan stereng untuk pemanduan kanan.
Dibina atas Seni Bina Tenaga Baru Global Pintar (GEA) Geely, Proton eMas dijangka akan dilengkapi dengan motor tunggal berkuasa 218 PS (160 kW) bersama bateri lithium iron phosphate (LFP), dengan kelajuan puncak yang diramalkan mencapai 175 km/jam, sejajar dengan jangkaan prestasi Galaxy E5.

Selain itu, Proton merancang untuk memperkenalkan lima model baru di bawah Global Modular Architecture (GMA), termasuk kenderaan bertenaga petrol, plug-in hybrid, dan elektrik yang bertujuan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran syarikat sehingga 200,000 unit.
Proton akan memperkenalkan model EV pertama mereka di penghujung 2024 ketika minat terhadap EV semakin meningkat di Malaysia dengan ura ura pihak pentadbiran sekarang akan mengurangkan subsidi petrol, menjadikannya lebih bersasar.
Buat masa ini pasaran EV sekitar 3% jumlah jualan keseluruhan dan mungkin mencecah 5% sekiranya subsidi bahanapi dirombak oleh kerajaan.

